Malaysia terima manfaat peluasan tarif oleh Amerika Syarikat, kata MARC Ratings | DagangNews Skip to main content

Malaysia terima manfaat peluasan tarif oleh Amerika Syarikat, kata MARC Ratings

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal melebihi 5.0 peratus pada tahun 2025, lebih tinggi berbanding jangkaan pertumbuhan ASEAN sebanyak 4.5 peratus.

KUALA LUMPUR 5 Dis - Malaysia akan mendapat manfaat daripada tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) secara meluas, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, kata MARC Ratings Bhd.

 

Ketua Ekonominya, Ray Choy berkata, peralihan perdagangan yang berpunca daripada tarif AS telah memberi manfaat kepada Malaysia, ASEAN dan Asia (tanpa China).

 

"Perdagangan keseluruhan di ASEAN, termasuk Malaysia, terus berkembang sejak tarif dilaksanakan oleh Presiden, Donald Trump pada tahun 2018.

 

"Bagaimanapun, prospek keseluruhan untuk perdagangan dan pertumbuhan mungkin lebih baik di dunia dengan tarif yang lebih sedikit dan fokus kepada nasionalisme ekonomi," katanya dalam satu webinar bertajuk Trumped Expectations: Navigating Policy Shifts and Market Responses in 2025 seperti laporan Bernama.

 

Sebagai rujukan, Choy memberi contoh eksport Vietnam yang melonjak apabila pengeluar berpindah ke negara lain bagi mengelakkan tarif yang tinggi dan kos perniagaan yang meningkat, manakala Taiwan menjadi pembekal alternatif produk elektronik ke AS.

 

Mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), beliau berkata, pertumbuhan Malaysia dijangka kekal melebihi 5.0 peratus pada tahun 2025, lebih tinggi berbanding jangkaan pertumbuhan ASEAN sebanyak 4.5 peratus, ketika China dianggar mencatat kadar pertumbuhan 4.5 peratus.

 

Beliau juga menyatakan, pertumbuhan global secara keseluruhan dijangka kekal stabil, walaupun pada kadar yang sedikit lebih rendah iaitu 3.2 peratus pada tahun 2025.

 

"Pertumbuhan AS dijangka perlahan pada 2025 kepada 2.2 peratus, akibat kesan kumulatif daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS. Jangkaan kadar faedah yang lebih rendah di AS didorong oleh kadar pengangguran yang lebih tinggi dan kemerosotan pertumbuhan KDNK secara keseluruhan," tambahnya.

 

Choy turut menegaskan, walaupun terdapat cabaran di China sebagai rakan dagang utama Malaysia, aktiviti perdagangan tempatan kekal berdaya tahan bersama-sama dengan ASEAN.

 

Mengenai inflasi, Choy menjelaskan, persekitaran kadar faedah global kekal konstruktif menjelang 2025, yang akan memberi rangsangan tambahan kepada pertumbuhan Malaysia, didorong oleh pelaburan yang lebih tinggi dan peralihan perdagangan.

 

"Sepanjang empat tahun lalu, kami telah melihat peningkatan ketara dalam pelaburan, yang telah diterjemahkan kepada penambahbaikan dalam pembentukan modal tetap kasar, satu trend yang kami jangka akan terus berlaku pada 2025.

 

"Walaupun inflasi yang lebih tinggi dijangka pada 2025, impaknya akan bergantung kepada masa dan jenis langkah rasionalisasi yang akan diambil, terutamanya berkaitan harga petrol," katanya.

 

Untuk 2025, MARC Ratings meramalkan inflasi Malaysia antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus. - DagangNews.com