KUALA LUMPUR 6 Nov - Syarikat tenaga bersih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Masdar memeterai perjanjian kajian kebolehlaksanaan bersama Sarawak Energy Bhd dan Gentari Sdn Bhd bagi menilai kebolehlaksanaan loji tenaga solar terapung di takungan Loji Hidroelektrik Murum.
Projek solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Kuching, Sarawak itu merupakan langkah penting dalam mengembangkan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Sarawak sekali gus menyokong misi tenaga bersih negara.
Katanya, loji tenaga solar terapung menawarkan beberapa manfaat bagi negara seperti Malaysia di mana populasinya semakin meningkat mungkin mendorong kepada kekurangan tanah diperlukan untuk pertanian dan perumahan.
Dengan membangunkan loji tenaga solar terapung, ia dapat mengurangkan penggunaan tanah dan penyejatan air serta menawarkan potensi sinergi operasi hidroelektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi berkata, kerjasamanya dengan Sarawak Energy dan Gentari memberi peluang untuk menggabungkan kepakaran masing-masing dalam mengejar masa depan tenaga mampan.
"Dengan memanfaatkan kekuatan kerjasama kami dalam teknologi RE, terutamanya dalam inovasi solar dan PV terapung berskala besar, dapat mempercepatkan peralihan tenaga dan memacu pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group, Datuk Sharbini Suhaili menekankan potensi loji tenaga solar terapung tersebut bakal melengkapkan pelaburan berterusan kumpulan dalam inovasi RE, termasuk ladang solar terapung Batang Ai kami, yang dijangka mengimbangi 52 kiloton pelepasan CO2 setiap tahun.
Sementara itu, kajian kebolehlaksanaan itu bertujuan untuk menilai potensi pemasangan solar terapung berskala besar di takungan Murum.
Penilaian itu merangkumi kajian teknikal, kesan projek itu terhadap alam sekitar dan kesan projek itu ke atas daya maju ekonomi sebelum menentukan sama ada projek itu boleh dilaksanakan dengan jayanya.- DagangNews.com