KUALA LUMPUR 11 Okt - Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan agar memperuntukkan RM85 juta dalam Bajet 2025 bagi memperbaiki industri pelancongan Malaysia.
Daripada jumlah itu, MATTA mencadangkan RM40 juta diperuntukkan secara khusus kepada ejen pelancongan, pengendali pelancongan dan persatuan perdagangan pelancongan bagi menyokong aktiviti berkaitan pelancongan di dalam dan luar negara.
Persatuan itu juga mencadangkan geran inovasi sebanyak RM25 juta untuk membantu pengendali pelancongan melalui agensi berkaitan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memanfaatkan teknologi digital agar dapat bersaing di pasaran pelancongan global.
"Dengan lebih 50% tempahan perjalanan kini dibuat secara dalam talian, pelaburan dalam transformasi digital adalah kritikal untuk menarik pelancong antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
MATTA turut memohon RM20 juta lagi untuk geran pembangunan kapasiti bagi melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja pelancongan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan demi memperbaiki pengalaman pelancong di negara ini.
"Bagi memastikan pengagihan pelbagai dana yang berkesan, MATTA mencadangkan pendekatan pelbagai agensi yang melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (MOHR), MDEC dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
"Ini memastikan geran dapat diakses oleh semua pihak berkepentingan untuk mempertingkatkan pembangunan dan pertumbuhan pelancongan domestik dan inbound di negara ini," jelasnya.
MATTA juga menyokong pengenalan semula pengecualian cukai untuk pengendali pelancongan yang menarik sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau mengangkut 1,500 pelancong domestik setiap tahun.
MATTA menggesa kerajaan agar memulihkan pengecualian cukai tersebut bagi merangsang pengendali pelancongan dan meningkatkan aktiviti pelancongan inbound serta domestik menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya.
Persatuan tersebut turut menyatakan, dengan permintaan yang semakin meningkat untuk pengalaman pelancongan mewah dan peribadi, MATTA mencadangkan pelaksanaan pengecualian cukai ke atas import kenderaan mewah bagi pengendali pelancongan yang berkhidmat kepada individu berpendapatan tinggi.
"Dengan mengurangkan beban kewangan pembelian kenderaan mewah oleh pengendali pelancongan, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong kaya dan pelancong perniagaan," tambahnya.
Presiden MATTA, Nigel Wong, berkata cadangan mereka untuk belanjawan negara bertujuan untuk merangsang pertumbuhan, menarik lebih ramai pelancong, dan memastikan industri pelancongan Malaysia terus berkembang dalam tahun-tahun akan datang.
"Dengan pelaburan strategik dalam pembiayaan, pelepasan cukai dan penambahbaikan dasar, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya, yang akhirnya menyumbang kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara dan rakyat," jelas persatuan. - DagangNews.com