KUALA LUMPUR 23 Dis - Penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia, Maxis, menganugerahkan biasiswa kepada 16 pelajar yang layak di bawah Program Biasiswa Maxis 2024.
Program tahun ini memberikan tumpuan kepada pelajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), dengan matlamat untuk menggabungkan bantuan kewangan dengan pendedahan industri yang berharga.
Biasiswa tersebut disampaikan kepada para penerima oleh Pengerusi Interim Maxis, Dato’ Hamidah Naziadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng pada majlis yang diadakan bersama pelajar dan ibu bapa, baru-baru ini.
Program itu terbuka kepada pelajar Malaysia yang berdaftar di universiti awam dan swasta di Malaysia serta Singapura dengan sebanyak 700 permohonan telah diterima tahun ini.
Selain menampung yuran pengajian dan kos sara hidup, biasiswa tersebut juga menawarkan peluang latihan amali, pengalaman praktikal, serta penempatan pekerjaan yang terjamin dengan Maxis selepas tamat pengajian.
Penekanan terhadap pendidikan STEM mencerminkan usaha berterusan Maxis untuk memajukan agenda digital negara.
Maxis sentiasa komited untuk membangunkan bakat bagi ekonomi masa depan, termasuk memupuk kemahiran dan kepakaran berkaitan dengan teknologi generasi akan datang seperti kecerdasan buatan (AI), awan, data dan 5G.
Sejak 2006, Maxis telah memberikan biasiswa kepada 346 pelajar untuk membantu mereka mencapai cita-cita akademik mereka.
Ketua Pegawai Sumber Manusia & Transformasi Maxis, Patrick Er berkata, di Maxis, pihaknya percaya dalam pembangunan insan, terutamanya belia, bagi mencapai potensi penuh mereka.
"Dengan memperkasakan mereka kepada pendedahan dan peluang yang betul, kita dapat memupuk golongan muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan.
"Ini selaras dengan tujuan kami untuk menghubungkan pelanggan dan perniagaan kepada dunia yang penuh cabaran," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beberapa penerima biasiswa Maxis menyifatkan, bantuan pendidikan yang diterima membuka jalan kepada prospek kerjaya yang bagus untuk diri mereka.
Pelajar tahun pertama Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) di Universiti Malaya (UM), Nur Amirah Syahirah berkata, biasiswa itu membolehkannya memberi tumpuan kepada akademik, aktiviti kokurikulum dan membina kerjaya.
"Ia telah membuka laluan baharu, peluang rangkaian dan prospek kerjaya. Saya benar-benar berterima kasih kepada Maxis atas peluang yang mengubah hidup ini," katanya.
Pelajar Ijazah Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTMKL), Kirtanan A/L Mani Maran berkata, biasiswa tersebut membolehkannya melanjutkan pengajian dalam bidang kecerdasan buatan, terutamanya AI dalam rangkaian 5G.
"Menjadi seorang penerima biasiswa Maxis memberi saya peluang untuk bekerja dengan pakar IT dan AI, di mana ia akan meningkatkan lagi pengetahuan dan kepakaran saya dalam AI," ujarnya.
Pelajar tahun pertama Perakaunan dan Kewangan di Sunway University, Tee Zhi Yee pula berkata, biasiswa itu menyemarakkan cita-citanya untuk meneruskan kerjaya dalam perakaunan dan kewangan.
"Ini adalah peluang untuk saya membina hubungan dan membangunkan kemahiran penting yang akan menyediakan saya untuk peranan profesional pada masa hadapan.
"Saya berasa sangat bertanggungjawab untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, dan saya komited untuk bekerja lebih keras daripada sebelumnya untuk mencapai matlamat saya," katanya. - DagangNews.com