Media Arus Perdana Harus Diutamakan Sebagai Rujukan Rasmi - Fahmi | DagangNews Skip to main content

Media Arus Perdana Harus Diutamakan Sebagai Rujukan Rasmi - Fahmi

Fahmi Fadzil bergambar bersama warga Kelab Media Kelantan di Kota Bharu pada 21 Januari 2025.

KOTA BHARU 21 Jan (Bernama) - Media arus perdana perlu diutamakan untuk dijadikan rujukan rasmi orang ramai berbanding media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata pengguna media sosial perlu sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang berita yang disampaikan menerusi media sosial.

 

“Wartawan (media arus perdana) mempunyai banyak pengalaman dan boleh membuat pengesahan sebelum menghantar berita yang sahih.

 

“Oleh itu, saya berpandangan media arus perdana perlu diutamakan,” katanya pada sidang media selepas bersarapan pagi bersama warga Kelab Media Kelantan, di sini, hari ini.

 

Sementara itu Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membangunkan satu aplikasi iaitu Chatbot dalam WhatsApp, sebagai tambahan kepada laman sesawang Sebenarnya.my. untuk menyemak dan mengekang sebarang maklumat tidak sahih.

 

Beliau berkata Chatbot berkenaan  akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

 

“Saya telah melihat Chatbot berkenaan yang telah diwujudkan dalam bentuk versi Beta Trial dan masyarakat boleh menghantar sesuatu mesej dalam Chatbot ini untuk mendapatkan pengesahan melalui kecerdasan buatan (AI), sama ada berita ini betul atau tidak, disahkan atau tidak.

 

“Oleh itu, kita sebagai pengguna media sosial perlu berwaspada dan jangan terlalu mudah percaya dengan apa yang kita baca di media sosial,” katanya.

 

Fahmi berkata Chatbot yang diusahakan oleh MCMC hanya boleh membuat pengesahan maklumat berbentuk teks dan bukan pengesahan sebaran video atau gambar.

-- BERNAMA