Maybank Islamic Asset Management lancar Dana MISI, tawar pengurusan tunai dan kecairan tinggi kepada pelabur korporat | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic Asset Management lancar Dana MISI, tawar pengurusan tunai dan kecairan tinggi kepada pelabur korporat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Nov - Maybank Islamic Asset Management Sdn Bhd (MIAM) pada Khamis melancarkan dana borong, Maybank Islamic Strategic Income Fund (Dana MISI) dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad, bertujuan menambah baik keperluan pengurusan tunai dan kecairan pelabur korporat dan institusi dengan menawarkan solusi patuh syariah dengan potensi menghasilkan pulangan sehingga 3.7% - 3.8% setahun. 

 

Dana itu turut menawarkan kadar kecairan yang tinggi dengan penebusan hari bekerja T+1, sekali gus memberikan akses pantas kepada para pelabur terhadap dana mereka. 

 

Dana MISI bertujuan menyediakan para pelabur aliran pendapatan berterusan dengan melaburkan 70% daripada nilai aset bersih (NAV) dana dalam aset cair islamik dan minimum 30% daripada NAV tersebut dalam sukuk denominasi MYR dengan penaraf kredit minimum AA3 oleh RAM atau penarafan yang setara oleh  Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC). 

 

Aset-aset cair itu terdiri daripada instrumen pasaran kewangan islamik dan deposit islamik, dengan sebahagian daripada dana dilaburkan dalam General Investment Account (GIA) dari Maybank Islamic.

 

GIA adalah produk Akaun Pelaburan yang ditawarkan oleh Maybank Islamic, bertujuan menyediakan pulangan stabil menerusi pelaburan berisiko rendah dan sederhana dalam aset pembiayaan bank seperti pembiayaan perumahan, sewa beli, pembiayaan Amanah Saham dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

Perkara tersebut boleh membantu pelabur untuk mengurangkan risiko kerugian dalam keadaan pasaran yang mencabar dan menyediakan aliran pendapatan yang stabil untuk portfolio pelaburan mereka. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIAM, Belqaizi Taufik berkata, pelancaran Dana MISI menandakan aras baharu ketika pihaknya memperkenalkan solusi pengurusan kecairan patuh syariah pertama.

 

"Dengan sasaran aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM200 juta pada FY2024, dana ini mengukuhkan kedudukan kami dalam aspek pengurusan aset patuh syariah dan menonjolkan kekuatan kerjasama kami dengan Maybank Islamic. 

 

"Kami percaya bahawa Dana MISI akan menawarkan potensi pulangan lebih tinggi yang dikecualikan cukai kepada pelabur korporat dan institusi dan kadar kecairan yang lebih tinggi menerusi pelaburan dalam sukuk, instrumen kewangan patuh syariah dan GIA, dengan kerjasama Maybank Islamic," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com