MIDF Research positif terhadap potensi penggabungan MISC, Bumi Armada | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap potensi penggabungan MISC, Bumi Armada

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - MIDF Research positif terhadap potensi penggabungan MISC Bhd dan Bumi Armada kerana ia akan meningkatkan kapasiti kewangan mereka untuk bersaing dalam mengembangkan unit pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) luar pesisir.

 

Katanya, MISC dan Bumi Armada adalah syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak & gas (OGSE) terkemuka dengan kepakaran bersama dalam FPSO untuk bahagian huluan.

 

"Memandangkan bahagian huluan global menjangkakan pertumbuhan yang stabil dalam belanjawan (dijangka AS$617 bilion pada 2025, AS$650 bilion pada 2026), kami percaya bahawa cadangan penggabungan adalah tepat pada masanya.

 

"Kedua-dua pihak boleh menggunakan kepakaran masing-masing dalam pasaran FPSO, seterusnya membawa kepada operasi yang lebih cekap dan penjimatan kos yang lebih tinggi.

 

"Bagi MISC, cadangan penggabungan ini adalah selari dengan strateginya untuk menyelaraskan armada FPSO sambil mengekalkan tumpuan kepada rumusan karbon rendah untuk binaan baharunya dengan mengumpulkan sumber dan kepakaran bagi memastikan peralihan tenaga yang lancar dalam entiti baharu itu," katanya alam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bumi Armada, MISC teroka potensi penggabungan, tingkatkan kedudukan pasaran luar pesisir

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bumi Armada mempunyai lapan FPSO dan MISC mempunyai 10 FPSO beroperasi, dengan setiap satu mempunyai purata umur tujuh tahun.

 

Katanya, penggabungan kekuatan kedua-dua pihak dijangka mewujudkan entiti yang teguh untuk FPSO dan perkhidmatan luar pesisir, dengan potensi untuk berkembang menjadi kapal LNG pada masa hadapan.

 

"Bagaimanapun, ia berdepan beberapa risiko termasuk penyepaduan kompleks model perniagaan, sistem serta proses, peningkatan kos yang berkaitan dengan penggabungan, halangan kawal selia yang boleh menangguhkan atau menggagalkan kerjasama itu dan cabaran luaran lain, seperti ketidaktentuan pasaran serta ketegangan geopolitik.

 

"Cadangan penggabungan masih dalam peringkat awal dan setakat ini, tiada sebarang kepentingan didedahkan mengenai penyiapannya, sekiranya kedua-dua pihak meneruskan penilaian dan usaha wajar selanjutnya," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' untuk MISC dengan harga sasaran (TP) RM8.95 dan saranan 'beli' juga untuk Bumi Armada pada TP, 85 sen sesaham. - DagangNews.com