KUALA LUMPUR 5 Dis - Kumpulan hartanah Mulpha International Bhd yang memberi tumpuan kepada aktivitinya di Australia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bercadang membeli tanah seluas 6.46 hektar di negeri New South Wales pada harga A$68.09 juta (RM196.78 juta).
Kumpulan itu berhasrat membangunkan hartanah itu menjadi 63 lot tanah kediaman dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak A$150 juta.
Jumlah kos pembangunan dianggarkan kira-kira A$100 juta, menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, hartanah itu, dikenali sebagai Marymount Mercy Centre, terletak dalam kawasan kediaman utama Castle Hill, dan berhampiran Pusat Beli-belah Castle Towers, Castle Hill dan stesen metro Cherrybrook serta kedai dan sekolah tempatan.
"Kerja-kerja di tapak dijangka bermula pada September 2025 dan siap pada pertengahan 2026, dengan penyelesaian lot kediaman selepas itu hingga 2027.
"Kos pembangunan akan dibiayai melalui pinjaman bank,” katanya.
Mulpha berkata,anak syarikatnya, Mulpha Marymount Pty Ltd, membeli hartanah itu daripada Pemegang Amanah Sisters of Mercy (Parramatta).
Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku ketiga 2025.
Sehingga akhir September 2024, Mulpha mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM2.19 bilion dan tunai serta deposit sebanyak RM334.97 juta, memberikannya kedudukan hutang bersih sebanyak RM1.86 bilion. Nisbah penggearan bersihnya ialah 54.9%. - DagangNews.com