Musim banjir beri impak minimum kepada pengeluaran minyak sawit mentah - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Musim banjir beri impak minimum kepada pengeluaran minyak sawit mentah - TA Securities

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Musim banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini hanya memberi impak minimum kepada pengeluaran minyak awit mentah (MSM), kata TA Securities.

 

Harga MSM yang mencatatkan peningkatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat, kerana negeri yang terjejas (tidak termasuk Melaka) menyumbang sehingga 49.1% kepada pengeluaran di Malaysia antara Januari hingga Oktober 2024.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" ke atas sektor itu, dengan harga MSM dilihat merosot dari suku kedua 2025 dengan ramalan purata RM3,800 setiap tan pada tahun hadapan.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak memberikan pecahan khusus untuk Melaka, kerana ia termasuk di bawah kategori "negeri lain".

 

Sementara itu, kontrak niaga hadapan aktif komoditi itu didagangkan pada RM5,296 satu tan, berikutan kenaikan hampir 40% sejak September 2024, yang dilanjutkan lagi bulan lepas berikutan musim tengkujuh. 

 

Setakat ini, harga niaga hadapan MSM telah meningkat sebanyak 45%.

 

TA Securities berkata, setiap penurunan 1% dalam pengeluaran tandan buah segar (BTS) dan kenaikan 1% dalam harga MSM akan menghasilkan pertumbuhan pendapatan antara 0.9% hingga 4.2%. 

 

Empat syarikat perladangan besar telah menghadapi banjir yang menjejaskan sebahagian kecil ladang mereka.

 

“FGV Holdings Bhd menjangkakan penurunan 5% hingga 7% dalam pengeluaran BTS pada suku keempat 2024, disebabkan faktor bermusim dan La Nina, manakala SD Guthrie Bhd mengunjurkan peningkatan 2% hingga 3% pada tahun hadapan.

 

“IOI Corp Bhd melaporkan gangguan minimum di Pahang, mengekalkan sasaran pertumbuhan 3% hingga 5% tahun ke tahun. 

 

"Ladang-ladang Kuala Lumpur Kepong Bhd di utara Kelantan telah terjejas, tetapi penilaian sedang dijalankan untuk mengukur tahap sepenuhnya.

 

“Pendapatan FGV adalah yang paling sensitif terhadap perubahan ini, dengan unjuran peningkatan kira-kira 4.2%. Ini diikuti oleh SDG pada 3.1%, United Malacca Bhd pada 2.7%, KLK pada 1.8%, TSH Resources Bhd pada 1.7%, dan IOI Corp pada 1.3%,” katanya dalam satu nota kajian. - DagangNews.com