MyDigital ID capai sejuta pendaftaran pengguna, pencapaian besar dalam perjalanan transformasi digital Malaysia | DagangNews Skip to main content

MyDigital ID capai sejuta pendaftaran pengguna, pencapaian besar dalam perjalanan transformasi digital Malaysia

Gambar/MyDigital ID
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - Lebih satu juta pengguna mendaftar untuk MyDigital ID kurang dari setahun sejak pelaksanaannya, sekali gus memperlihatkan kesediaan rakyat Malaysia untuk menerima transformasi digital, memastikan cara yang lebih mudah dan selamat untuk mengakses perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta dalam talian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, penglibatan mereka memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi MyDigital ID Malaysia. 

 

"Kami sangat berterima kasih kepada pengguna atas keyakinan mereka terhadap MyDigital ID dan proaktif untuk melindungi diri mereka dalam masa depan digital yang semakin mencabar.

 

 

"Ini menunjukkan dengan jelas bahawa rakyat Malaysia bersedia untuk beralih kepada perkhidmatan digital yang selamat dan efisien," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menekankan, pencapaian itu menandakan satu batu loncatan penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi negara yang dipacu digital.

 

Mohd Mirza berkata, ketika Malaysia meningkatkan transformasi digitalnya, MyDigital ID berfungsi sebagai kunci digital yang dipercayai, menawarkan akses yang lebih cepat, selamat dan lebih mudah kepada perkhidmatan penting sambil menjaga privasi dan integriti data pengguna.

 

"Pada masa ini, aplikasi MyDigital ID telah diintegrasikan dengan beberapa aplikasi kerajaan seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Mudah Alih, MySejahtera, portal MyGov serta MyJPJ. Platform ini juga akan melihat integrasi dengan aplikasi popular di masa depan," katanya.

 

Perkhidmatan menyeluruh MyDigital ID termasuk akses kepada perkhidmatan e-kerajaan yang selamat, di samping perbankan, telekomunikasi, dan penjagaan kesihatan.

 

Untuk mendaftar, pengguna boleh memuat turun aplikasi MyDigital ID dari Google Play Store atau Apple App Store dan mendaftar tanpa perlu mengunjungi kiosk. 

 

Selepas pendaftaran, pengguna boleh mendaftar masuk ke pelbagai aplikasi dan portal hanya dengan satu sistem pengesahan, memudahkan pengurusan akses.

 

Mohd Mirza menambah, sistem MyDigital ID mengesahkan identiti pengguna untuk platform dan transaksi kerajaan tanpa mengumpul data peribadi, sebaliknya ia membandingkan maklumat dari MyKad dan cap jari atau ciri wajah pengguna dengan rekod sedia ada daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (NRD) semasa proses pendaftaran.

 

"Pelaksanaan MyDigital ID menandakan langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, selaras dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi bagi memberdayakan warganya.

 

"MyDigital ID Sdn Bhd juga ingin menekankan dan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik pengguna. Ia juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan data peribadi, sambil memastikan pengguna tidak mempunyai lebih daripada satu identiti digital sebagai langkah keselamatan," katanya. - DagangNews.com