MYStartup Pre-Accelerator Cohort 4 labuh tirai, Cradle umum lima syarikat pemula terbaik semasa Demo Day | DagangNews Skip to main content

MYStartup Pre-Accelerator Cohort 4 labuh tirai, Cradle umum lima syarikat pemula terbaik semasa Demo Day

Lima startup terbaik adalah DashAdd, IOXTECH Global, Faradays Energy, Nanofertech dan Vidanex.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - MYStartup Pre-Accelerator Cohort 4, sebuah program anjuran Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) dengan kerjasama WatchTower and Friends, melabuhkan tirai dengan acara kemuncak Demo Day pada 4 Oktober 2024 di Grey Box, GMBB, selepas lebih tiga bulan bimbingan intensif, latihan dan pembangunan perniagaan.

 

Sebanyak 11 finalis syarikat pemula membentangkan Produk Berdaya Maju Minimum (MVP) mereka kepada panel juri, mempamerkan penyelesaian inovatif merangkumi industri seperti teknologi kewangan (fintech), teknologi kesihatan dan teknologi pertanian. 

 

Syarikat pemula itu adalah antara 30 syarikat yang terpilih untuk program berkenaan setelah melalui saringan ketat untuk memperbaiki  model perniagaan dan strategi kemasukan pasaran mereka.


 
Semasa sesi Demo Day, lima startup dinobatkan sebagai pemenang terbaik, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM35,000 beserta sokongan tambahan dan akses kepada pelbagai faedah daripada MYStartup dan rakan korporat.


 
Lima startup terbaik adalah DashAdd, IOXTECH Global, Faradays Energy, Nanofertech dan Vidanex.

 

Panel juri pula terdiri daripada tokoh-tokoh utama dalam ekosistem syarikat pemula Malaysia termasuk Ketua Pembangunan Ekosistem Cradle, Zehan Teoh; Pengasas OXWHITE, CK Chang; rakan kongsi di First Move, Audra Pakalnyte; penasihat dan pelabur, Yeoh Chen Chow; dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) pitchIN, Steven Wong.

 

Setiap syarikat pemula dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti tahap inovasi, potensi pasaran dan keupayaan pelaksanaan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, memuji kualiti pembentangan, dengan menyatakan, ia memaparkan inovasi dan semangat keusahawanan oleh peserta yang mengukuhkan  keyakinan syarikat terhadap bakat yang ada di Malaysia. 


 
"Kami komited untuk membina ekosistem syarikat pemula yang berkembang pesat di mana ia mampu melengkapi pengasas dengan sumber penting untuk mengembangkan idea mereka seterusnya menjana impak global.


 
"Kejayaan syarikat pemula penting untuk masa depan Malaysia, daripada mencipta pekerjaan, menyelesaikan cabaran  mendesak dan meletakkan negara kita sebagai hab utama teknologi dan keusahawanan," katanya semasa pengumuman pemenang baru-baru ini.

 

CEO dan Pengasas Bersama WatchTower and Friends, Sam Shafie, menekankan tentang kepentingan menyokong ekosistem keusahawanan Malaysia seperti yang dilakukan syarikatnya sejak tahun 2015.

 

"Kami berbangga untuk terus memainkan peranan dalam memenuhi aspirasi kerajaan berkaitan ekosistem syarikat pemula, dan kami sentiasa mengemas kini silibus program kami untuk memastikan syarikat pemula dilengkapi dengan pengetahuan terbaik," ujar beliau.

 

Menurut Sam, kohort kali ini contohnya, turut memperkenalkan modul baharu mengenai alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) untuk startup setelah mengambil kira minat pelabur terhadap kelestarian dalam keputusan mereka.

 

Salah daripada startup terbaik, IOXTECH Global, menerusi pengasas bersamanya, Muhd Amin Rafiq menyifatkan, perjalanan syarikarnya baru bermula.

 

"Kami bersyukur atas hadiah wang tunai dan sokongan berterusan daripada Cradle serta WatchTower and Friends. Sebelum program ini, saya berasa tidak pasti di mana untuk bermula, tetapi struktur dan alat yang disediakan sangat bernilai dalam membina MVP kami. 

 

"Kami memperoleh pandangan penting mengenai pembangunan startup dan maklum balas daripada mentor telah membantu kami memperhalusi model perniagaan dan mengesahkan strategi kami untuk pasaran," katanya. - DagangNews.com