Nilai kontrak FY25 Kerjaya Prospek diunjur sebanyak RM1.8 bilion - Kenanga  | DagangNews Skip to main content

Nilai kontrak FY25 Kerjaya Prospek diunjur sebanyak RM1.8 bilion - Kenanga 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Jan - Kenanga Research menjangkakan Kerjaya Prospek Group Bhd menerima jumlah kontrak pada FY24 dan FY25, masing-masing bernilai RM1.6 bilion dan RM1.8 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, ramalannya berdasarkan kemenangan kontrak pertama Kerjaya pada 2025 bernilai RM256.4 juta yang mewakili 14% daripada andaian penambahan kerja FY25 sebanyak RM1.8 bilion. 

 

Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak RM256.4 juta daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan di Elmina West, Shah Alam, Selangor.

 

Kumpulan itu berkata, skop projek itu, yang diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, merangkumi pembinaan 360 unit rumah teres tiga tingkat, bersama rumah kelab, kerja landskap dan infrastruktur berkaitan.

 

"Kami positif dengan kemenangan kerja pertama Kerjaya sebanyak RM256.4 juta, yang memenuhi 14% andaian kami sebanyak RM1.8 bilion. 

 

"Jumlah buku pesanan tertunggak semasa Kerjaya kini berjumlah RM4.2 bilion.

 

"Sementara itu, buku tender semasanya sebanyak RM4 bilion, terdiri daripada kerja bangunan bernilai RM2 bilion dan kontrak kerja industri termasuk pusat data dan kerja gudang logistik yang bernilai RM2 bilion" katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma tersebut mengekalkan saranan "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM2.21.

 

"Kami terus menyukai Kerjaya kerana keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan tertunggak yang besar dan tempahan berulang yang sekurang-kurangnya mencecah RM1 bilion setahun," katanya.- DagangNews.com