Northport catat rekod kendali 52,480 tan kargo pukal dari sebuah kapal pada Sept 2024 | DagangNews Skip to main content

Northport catat rekod kendali 52,480 tan kargo pukal dari sebuah kapal pada Sept 2024

Northport cipta rekod baharu bagi pengendalian kargo pukal tertinggi dari sebuah kapal dengan mengendalikan sebanyak 52,480 FWT kargo keluli dari sebuah kapal kargo konvensional, MV African Blackbird di Dermaga 20, Northport dari 14 hingga 17 September 2024.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Sept - Northport (Malaysia) Bhd sekali lagi mencipta rekod baharu bagi pengendalian tertinggi untuk kargo pukal dari sebuah kapal. 

 

Pencapaian ini dibuat dengan pengendalian sejumlah 52,480 tan berat muatan (FWT) kargo keluli dari sebuah kapal kargo konvensional, MV African Blackbird. 

 

Ia mengatasi rekod yang dibuat sebelum ini iaitu sebanyak 48,853 FWT, yang dicatatkan pada Mac 2024 dari kapal MV Jin Chao.

 

MV African Blackbird membawa kargo keluli, termasuk gegelung keluli dan produk keluli campuran, yang dikendalikan di Dermaga 20, Northport. 

 

Operasi pengendalian ini bermula dari 14 sehingga 17 September 2024, selama 9 syif bekerja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof bekata, pencapaian pecah rekod terbaru ini adalah bukti komitmen Northport yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dalam segmen kargo konvensional. 

 

"Dedikasi kami terhadap penambahbaikan berterusan, inovasi dan pelaburan dalam kemudahan pelabuhan yang terkini telah membolehkan kami mencapai tahap prestasi dan kecekapan yang lebih baik dalam pengendalian kargo," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Antara Januari dan Ogos 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 8,174,028 FWT kargo konvensional, iaitu pertumbuhan kukuh sebanyak 15.3% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

 

Kargo keluli terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan prestasi kargo konvensional Northport, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap produk keluli pada harga yang kompetitif.

 

Tambah Azman, rekod baharu ini adalah hasil daripada kerja keras, dedikasi dan kepakaran seluruh pasukan Northport. 

 

Katanya, melalui kerjasama erat antara kakitangan dan kontraktor Northport, semua pihak telah dapat memastikan pengendalian kargo yang cekap dan selamat. 

 

"Saya ingin menyampaikan rasa setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan Northport, pekerja stevedore dan kontraktor kami atas kerjasama dan hasil kerja cemerlang mereka yang terus meningkatkan prestasi bagi mencapai tahap kecekapan dan produktiviti baharu dalam operasi pelabuhan kami," katanya.

 

Rekod prestasi Northport dalam pengendalian kargo konvensional telah secara konsisten menetapkan tanda aras baharu. 

 

Pada bulan lalu, Northport telah memecahkan rekod kendalian bulanan kargo konvensional dengan mengendalikan sejumlah 1,145,021 FWT, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 1,143,318 FWT yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

 

Jumlah ini termasuk pengendalian 2 set aerotrain baharu untuk operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang telah dikendalikan di Northport pada 28 Ogos 2024.- DagangNews.com