Pelaksanaan berterusan ICPT tidak beri kesan kepada operasi dan kedudukan kewangan TNB | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan berterusan ICPT tidak beri kesan kepada operasi dan kedudukan kewangan TNB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Dis - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjangkakan pelaksanaan berterusan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) tidak akan memberi kesan kepada operasi dan kedudukan kewangannya.

 

Perkara tersebut disahkan TNB dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Malah, syarikat kekal fokus untuk mengekalkan tahap perkhidmatan dan memastikan bekalan elektrik yang stabil serta berterusan kepada pelanggan.

 

Pada 20 Disember lalu, kerajaan mengumumkan tarif elektrik untuk semua pengguna di Semenanjung Malaysia akan kekal tanpa perubahan di bawah mekanisme ICPT dari 1 Januari hingga 30 Jun 2025. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif elektrik tidak berubah: Kerajaan sediakan subsidi RM5.96 bilion bagi tempoh 1 Jan-30 Jun 2025

 

ICPT membolehkan TNB mengubah tarif elektrik berdasarkan perubahan kos bahan api dan kos berkaitan penjanaan, dengan kerajaan mengkaji semula tarif setiap enam bulan.

 

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menetapkan kadar tarif elektrik asas purata bagi TNB di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) untuk Tempoh Peraturan (RP4), yang bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2027.

 

Suruhanjaya Tenaga kini sedang memuktamadkan jadual tarif baharu, yang akan mencerminkan kos sebenar bekalan elektrik sambil mengekalkan keseimbangan dalam tiga cabaran utama tenaga iaitu keamanan, kelestarian dan kebolehcapaian. 

 

Tarif baharu itu akan dilaksanakan pada 1 Julai 2025, dengan sebanyak RM3.57 bilion dibiayai oleh kerajaan. - DagangNews.com