KUALA LUMPUR 23 Dis - Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) menyarankan pemegang polisi insurans dan takaful menyemak semula polisi sedia ada untuk mengenal pasti sebarang perlindungan berlebihan atau tidak penting yang boleh diselaraskan agar dapat mengurangkan jumlah premium sambil mengekalkan faedah penting.
Presidennya, Alvin Tan berkata, langkah itu membolehkan golongan berkenaan menguruskan kos penjagaan kesihatan swasta tanpa perlu mengorbankan perlindungan mereka.
Katanya, mereka juga boleh membandingkan pelan yang sama daripada penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) lain untuk mencari pilihan kos yang lebih efektif tanpa menjejaskan perlindungan kritikal.
"Selain itu, semak sama ada majikan menawarkan insurans perubatan sebagai sebahagian daripada faedah pekerjaan. Tambah perlindungan ini dengan pelan peribadi yang disesuaikan dengan keperluan khusus.
"Alternatif lain ialah menilai keseluruhan keadaan kewangan dan buat pelarasan belanjawan untuk menampung kenaikan premium sambil mengekalkan perlindungan kesihatan anda," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya, ITO juga perlu berbincang mengenai penstrukturan semula harga kad perubatan serta memberikan pilihan pembayaran kepada pelanggan supaya premium lebih berpatutan.
Sebelum ini, premium insurans perubatan dilapor akan menyaksikan peningkatan antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Susulan itu, pada 28 November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan syarikat insurans dan ITO menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.
Mengulas lanjut, Alvin berkata, orang ramai perlu menilai dengan teliti sebarang pilihan sebelum membuat keputusan yang boleh menjejaskan perlindungan kesihatan mereka.
"Peningkatan mendadak ini menimbulkan cabaran kepada ramai pemegang polisi yang mungkin mempertimbangkan untuk membatalkan polisi mereka kerana tekanan kewangan.
"Menamatkan polisi insurans atau takaful mungkin kelihatan seperti penyelesaian jangka pendek, tetapi ia boleh membawa kesan kewangan jangka panjang terutama ketika kecemasan," ujarnya.
Alvin pada masa sama menyeru semua pihak termasuk penyedia penjagaan kesihatan dan ITO supaya bekerjasama bagi menangani peningkatan inflasi perubatan.
"FPAM juga mahu menasihatkan orang ramai supaya berunding dengan perancang kewangan berlesen kerana mereka boleh memberi nasihat dan membantu membuat keputusan seiring dengan matlamat kewangan dan keperluan penjagaan kesihatan.
"Insurans kesihatan dan perlindungan takaful adalah komponen penting dalam pelan kewangan yang kukuh," katanya lagi. - DagangNews.com