Pemegang saham AME Elite, AME REIT luluskan transaksi hartanah perindustrian RM119.5 juta di Iskandar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham AME Elite, AME REIT luluskan transaksi hartanah perindustrian RM119.5 juta di Iskandar Malaysia

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Pemegang saham AME Elite Consortium Berhad (AME Elite) dan pemegang unit AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) meluluskan pembelian empat hartanah perindustrian yang dipajak sepenuhnya di Iskandar Malaysia bernilai RM119.5 juta. 

 

AME REIT akan membeli empat hartanah daripada penajanya, AME Elite, untuk pertimbangan tunai.

 

Pengambilalihan itu akan meningkatkan nilai aset proforma AME REIT sebanyak 16.7% kepada RM828.8 juta. 

 

Hartanah terletak di i-TechValley SILC dan dua di i-Park@Senai Airport City, mempunyai gabungan kawasan boleh disewakan (ALA) yang dipersetujui seluas 391,872 kaki persegi.

 

Katanya, pengambilalihan akan dibiayai sepenuhnya melalui pembiayaan Islam, penggearan pro forma AME REIT diunjurkan meningkat kepada 27.0%.

 

"Hasil daripada penjualan AME Elite sebahagiannya akan membiayai pembangunan berterusan projek i-TechValley di SILC, sebuah taman perindustrian seluas 68.72 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion.

 

"Selain itu, kami menjangkakan urus niaga itu akan menjana keuntungan bersih proforma AME Elite kira-kira RM22.9 juta.

 

"Pengambilalihan itu dijangka siap semasa fasa antara suku pertama dan ketiga 2025, yang akan menyumbang kepada pendapatan AME REIT dan AME Elite pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY2025)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.   

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AME Elite, Dylan Tan Teck Eng berkata, pelupusan strategik hartanah itu membolehkan kumpulan mengoptimumkan kunci kira-kira.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif AME REIT, Chan Wai Leo berkata, pengambilalihan  hartanah perindustrian iyu daripada penajanya mengukuhkan portfolio AME REIT dan akan meningkatkan pengagihan kepada pemegang unit kumpulan. - DagangNews.com