Pendapatan FY24 Bank Islam diunjur lebih rendah berikutan keputusan kewangan suku ketiga yang tidak memenuhi anggaran - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pendapatan FY24 Bank Islam diunjur lebih rendah berikutan keputusan kewangan suku ketiga yang tidak memenuhi anggaran - penganalisis

Kenanga Research berkata, untung bersih BIMB tidak memenuhi jangkaan tahunan akibat gagal mencapai trajektori pertumbuhan pembiayaan dan turun naik wang asing (forex) yang tidak memanfaatkan kumpulan - Gambar RSP
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Penganalisis menyemak turun unjuran pendapatan FY24 Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) berikutan keputusan kewangan suku ketiga (3QFY4) yang tidak memenuhi anggaran tahunan akibat pertumbuhan pembiayaan yang lemah.

 

Kenanga Research berkata, untung bersih BIMB tidak memenuhi jangkaan tahunan akibat gagal mencapai trajektori pertumbuhan pembiayaan dan turun naik wang asing (forex) yang tidak memanfaatkan kumpulan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sebelum ini meramalkan prestasi kewangan 2HFY24 yang lebih baik dengan sasaran pertumbuhan pembiayaan 7% sehingga 8%.

 

"Bagaimanapun, memandangkan pelanggan korporatnya menjadi semakin sensitif terhadap kadar forex, pelanggan BIMB menaikkan sukuk sebagai alternatif yang lebih murah kepada pembiayaan.

 

"Ini menyebabkan kumpulan itu mengurangkan pembiayaan mereka kepada 3% sehingga 4%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Katanya, dengan BIMB mengurangkan andaian pertumbuhan pinjaman, firma tersebut menurunkan unjuran pendapatan BIMB pada FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 8% dan 3%.

 

"Oleh itu, kami mengekalakan saranan "underperform" ke atas BIMB dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.30 sesaham daripada RM2.35. 

 

"Antara risiko saranan kami termasuk pengembangan margin yang lebih tinggi, pertumbuhan pinjaman dan kualiti aset yang lebih baik daripada jangkaan, lonjakan dalam aktiviti pasaran modal, turun naik forex yang menggalakkan serta perubahan kepada kadar dasar semalaman (OPR)," katanya.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran pendapatan tahunan BIMB FY24 sehingga FY26 masing-masing pada 3%. 

 

"Kami menurunkan unjuran pendapatan BIMB berdasarkan andaian tekanan margin faedah bersih (NIM) yang lebih rendah dan pendapatan bukan berasaskan dana yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Maybank IB mengekalakan saranan "pegang" ke atas BIMB dengan TP yang lebih rendah kepada RM2.65 daripada RM2.75. 

 

"Sebagai salah satu bank Islam terbesar di Malaysia dari segi saiz aset, pertumbuhan pembiayaan yang lebih perlahan atau isu kualiti aset akan memberi kesan ke atas prestasi Bank Islam. 

 

"Kenaikan hasil bon juga akan memberi kesan buruk ke atas portfolio pelaburan bank," katanya. - DagangNews.com