KUALA LUMPUR 7 Nov - Pendapatan hartanah bersih Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) pada suku ketiga berakhir 30 Spetember 2024 (3QFY24) meningkat 25% kepada RM37.6 juta berbanding RM30.1 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong hasil daripada pengambilalihan hartanah baharu.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, lonjakan pendapatan itu membantu meningkatkan pendapatan boleh agih bersih kepada RM20.5 juta.
Sentral REIT bagaimanapun tidak mengisytiharkan pengagihan pendapatan bagi suku tersebut.
Pendapatan lebih tinggi yang dicatatkan pada 2024 itu disokong sumbangan hasil daripada Menara CelcomDigi dan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada Bangunan Sentral 4 dan Platinum Sentral selepas ditolak kos kewangan, yuran pengurus dan yuran pemegang amanah yang lebih tinggi.
Pengerusi Sentral REIT, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, portfolio berdaya tahan sepanjang tahun seperti yang ditunjukkan dalam pendapatan hartanah bersih 2024 yang lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2023.
"Kami kekal yakin dengan keupayaan Sentral REIT dalam mengekalkan trajektori yang konsisten dengan keseluruhan pasaran pejabat di Lembah Klang dengan menunjukkan prestasi positif, dibantu pertumbuhan dalam kadar penghunian dan sewa tahun ini," katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024 (9MFY24), pendapatan harta bersih meningkat 28% kepada RM113.68 juta.
Selepas menolak kos kewangan yang lebih tinggi, yuran pengurus dan yuran pemegang amanah, pendapatan boleh agih bersih meningkat 14% pada RM60.92 juta untuk 9MFY24.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derek Teh Wan Wei berkata, mereka mempunyai kira-kira 282,000 kaki persegi atau 14% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih yang akan diperbaharui pada 2024, dengan kira-kira 180,000 kaki persegi atau 62% daripada kawasan itu akan dibayar sehingga September.
Katanya, kadar penghunian adalah stabil pada 84% pada akhir suku tersebut.
"Kami optimis dengan hasil pembaharuan untuk penyewaan yang akan dibayar pada suku terakhir, yang akan memastikan penghunian portfolio Sentral REIT kekal teguh untuk tahun ini.
"Usaha pemajakan sedang dijalankan untuk memajakkan baki ruang kosong dalam portfolio dengan strategi yang disasarkan untuk menangani keperluan pasaran," katanya. - DagangNews.com