Pendapatan Keyfield pada 4QFY24 diramal lebih lemah disebabkan kadar penggunaan bot rendah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Keyfield pada 4QFY24 diramal lebih lemah disebabkan kadar penggunaan bot rendah, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Nov - Kenanga Research meramalkan Keyfield International Bhd mencatatkan pendapatan lebih lemah pada 4QFY24 disebabkan kadar penggunaan bot kerja lebih rendah pada musim tengkujuh.

 

Katanya, selain itu empat kapalnya akan berada di dok kering bermula Disember 2024 hingga Februari 2025, menyediakan mereka untuk lebih banyak pekerjaan baharu mulai 2QFY25.

 

"Majoriti bot kerja penginapannya (AWB) kini terlibat dengan sewa jangka sederhana antara enam hingga sembilan bulan.

 

"Sekiranya permintaan untuk AWB kekal teguh, kami mengunjurkan kumpulan itu boleh memperoleh kadar sewa harian (DCR) yang lebih tinggi untuk FY25 menjelang akhir FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM81.12 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (3QFY2024), meningkat 77.18% daripada RM45.78 juta setahun sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan meningkat 45.54% tahun ke tahun kepada RM216.79 juta daripada RM148.95 juta.

 

Keyfield mencatatkan 1,053 hari sewaan daripada 12 kapal sendiri pada suku tersebut, berbanding 854 hari sewaan daripada 10 kapal sendiri pada suku ketiga 2023 meningkatkan kadar penggunaan kepada 99.2% daripada 92.8%.

 

Firma penyelidikan menyukai kumpulan itu kerana, pendedahannya kepada industri kapal sokongan luar pesisir (OSV) tempatan yang berkembang pesat selain usia kapalnya yang lebih muda di Bawah usia lapan tahun.

 

Selain itu, kapal bertaraf DP2 yang digemari pelanggan dan kemasukannya sebagai kontraktor panel kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) untuk Petronas boleh membuka pintu untuk lebih banyak penyewaan AHTS.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk penurunan ketara dalam harga minyak mentah Brent, masa henti kapal yang tidak dijangka akibat penyelenggaraan yang tidak dirancang dan penurunan dalam belanjawan pengeluar minyak," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.18 sesaham.- DagangNews.com