Pengurangan kos penjagaan kesihatan swasta boleh jejaskan minat pelabur - APHM | DagangNews Skip to main content

Pengurangan kos penjagaan kesihatan swasta boleh jejaskan minat pelabur - APHM

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 Nov - Langkah mengurangkan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta boleh menjejaskan minat pelabur dalam sektor berkenaan, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

 

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata, ia disebabkan hubungan yang rumit antara keuntungan dan daya tarikan pelabur, ditambah dengan margin keuntungan kecil antara 7% hingga 11% selepas cukai bagi hospital swasta di Malaysia.

 

Katanya, margin tersebut adalah lebih rendah berbanding banyak sektor penjagaan kesihatan lain.

 

 

"Jika margin ini dikurangkan lagi dengan menurunkan kos perkhidmatan, ia dianggap tidak mampan dan berpotensi menghalang pelaburan dalam penjagaan kesihatan swasta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dr Kuljit berkata, dalam jangka masa panjang, kekurangan pelabur di hospital swasta boleh mengakibatkan beban kepada sistem penjagaan kesihatan awam.

 

Minggu lalu, sekumpulan ahli Parlimen dari PKR mendakwa, kenaikan kos perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta memaksa golongan berpendapatan sederhana untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

 

Mereka berkata, ia akan memburukkan lagi masalah kesesakan di kemudahan-kemudahan tersebut.

 

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin ketika itu berkata, kenaikan kadar itu memberi kesan kepada golongan kelas menengah yang tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

 

Dr Kuljit pada masa sama berkata, kenaikan kos penjagaan kesihatan bukanlah satu isu yang hanya berlaku di Malaysia.

 

Beliau memetik sebuah artikel dalam Bangkok Post yang melaporkan, kos perubatan melonjak di Thailand sejak 2020 dan dijangka meningkat lagi sebanyak 15% pada 2025.

 

Katanya, bagi menyelesaikan perkara tersebut, sistem penjagaan kesihatan awam perlu dipertingkatkan.

 

"Model penjagaan kesihatan awam boleh memberikan perkhidmatan dengan cekap kepada individu yang tiada akses kepada penjagaan kesihatan swasta.

 

"Ia dapat memastikan penjagaan menyeluruh untuk semua warganegara tanpa mengenakan sekatan terhadap penjagaan kesihatan swasta, yang boleh menjejaskan pertumbuhan dan kelestarian hospital swasta," tambahnya. - DagangNews.com