KUCHING 14 Nov - Pengusaha sawit seperti Ta Ann Holdings Bhd (Ta Ann) dan Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) dijangka mendapat manfaat besar daripada kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).
RHB Investment berkata, dengan harga MSM melepasi paras RM5,000 setiap tan berikutan faktor asas dan spekulatif, syarikat seperti Ta Ann dan SOP akan memperoleh keuntungan yang signifikan.
Laporan itu juga menunjukkan, harga MSM dijangka terus meningkat melebihi RM5,000 setiap tan, meningkat 15% dalam sebulan yang lalu.
Katanya, lonjakan berkenaan disebabkan oleh empat faktor iaitu peningkatan harga minyak mentah yang naik 18% dalam dua bulan, ketegangan geopolitik yang meningkat, isu cuaca di Amerika Selatan dan penanaman kacang soya yang lebih lambat daripada yang dijangkakan.
"Ini telah menaikkan harga minyak kacang soya sebanyak 14% dalam tiga minggu terakhir, begitu juga larangan kerajaan Thailand ke atas eksport minyak sawit sehingga akhir tahun untuk cuba mengawal kenaikan harga minyak masak.
"Walaupun Thailand bukan pengeluar atau pengeksport besar minyak sawit, ini telah mempengaruhi sentimen, termasuk kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat," dalam satu nota kajian.
Pada pilihan raya 2016 ketika Donald Trump menang, harga kacang soya dan minyak sawit mencatatkan kenaikan 17% dan 28% beberapa bulan sebelum pilihan raya.
Selepas pilihan raya, harga meningkat lebih tinggi sebanyak 10% dan 11% sehingga mencecah puncak AS$832 setiap tan dan RM3,306 setiap tan dari akhir 2016 hingga awal 2017.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun menekankan, prospek jangka pendek bagi Ta Ann dan SOP terdedah kepada aktiviti spekulatif yang dipengaruhi oleh risiko geopolitik yang tidak menentu, menurut penganalisis.
Mereka percaya bahawa harga tidak mungkin turun di bawah RM4,000 setiap tan dalam waktu terdekat, memandangkan risiko geopolitik masih berpengaruh, yang juga akan mengekalkan harga minyak mentah yang tinggi dan kekuatan spekulatif yang aktif.
"Selain itu, setelah dasar Trump 2.0 diumumkan, harga mungkin stabil dan turun dari puncaknya," katanya.
Bagi tahun 2025, walaupun faktor asas nampak semakin baik, pasukan penyelidik memberi amaran bahawa pengeluaran rendah dan tahap stok di Indonesia pada 2024, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia pada 2025 dan pengurangan bekalan biji matahari serta biji canola pada 2025, mungkin membawa kepada kekurangan yang lebih ketara dalam minyak dan lemak global pada tahun 2025.
"Ini seterusnya, akan menyebabkan harga minyak sayuran yang lebih tinggi pada tahun 2025, dengan nisbah stok/penggunaan untuk 17 jenis minyak dan lemak jatuh ke paras terendah dalam 15 tahun iaitu 12.4% pada tahun 2025, berbanding purata sejarah 13.6%," tambahnya.
Secara keseluruhan, RHB Investment menjangkakan harga MSM kekal tinggi pada separuh pertama 2025, diperdagangkan antara RM4,400 hingga RM4,800 setiap tan sebelum sederhana pada separuh kedua 2025 kepada RM4,000 hingga RM4,400 setiap tan semasa puncak musiman. - DagangNews.com