KUALA LUMPUR 2 Dis - Penyasaran subsidi diesel setakat ini berjaya membantu menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting itu memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan antaranya seperti jalan, hospital, dan sekolah.
Beliau berkata, selaras dengan langkah penyelarasan semula subsidi diesel, kerajaan telah mengapungkan harga diesel tanpa subsidi di pam bagi minggu pertama bermula 10 Jun 2024 kepada RM3.35 seliter berbanding RM2.15 seliter melalui kaedah apungan harga secara terkawal.
"Sehingga kini, kerajaan telah menurunkan harga diesel tanpa subsidi sebanyak 40 sen seliter menjadikan harga apungan semasa kini pada kadar RM2.95 seliter," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai penjimatan kerajaan daripada subsidi diesel yang telah ditarik dan kaedah menggunakan jumlah penjimatan ini.
Beliau berkata, di bawa Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0), sejumlah 23 jenis kenderaan diesel pengangkutan barangan darat yang menggunakan kaedah fleet card akan kekal menikmati harga diesel pada kadar RM2.15 seliter.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menyediakan bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada individu pemilik kenderaan diesel persendirian, golongan petani dan pekebun kecil di bawah BUDI Individu dan BUDI Agro-komoditi tertakluk kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan.
"Sehingga 31 Oktober 2024, lebih 140,000 penerima BUDI Individu dan 65,000 penerima BUDI Agri-Komoditi telah diluluskan dalam tempoh lima bulan pelaksanaan sejak Jun 2024 dengan jumlah bayaran sebanyak RM160 juta," katanya.- DagangNews.com