Perdana Petroleum peroleh kontrak sewa kapal tunda dan bekalan daripada IPC Malaysia | DagangNews Skip to main content

Perdana Petroleum peroleh kontrak sewa kapal tunda dan bekalan daripada IPC Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Dis - Perdana Petroleum Bhd memperoleh kontrak sewa kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) dan bekalan daripada IPC Malaysia BV.

 

Kumpulan itu berkata, nilai kontrak tidak dapat ditentukan pada masa ini kerana ia bergantung kepada lokasi penugasan kapal sepanjang tempoh kontrak tiga tahun, dengan pilihan untuk lanjutan tiga tahun lagi.

 

Kontrak itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Perdana, Perdana Nautika Sdn Bhd, berhubung penyediaan kapal operasi pengeluaran IPC untuk Petronas Carigali Sdn Bhd.

 

Menerusi kontrka itu, Perdana Nautika akan membekalkan sebuah kapal AHTS, bersama anak kapalnya dan peralatan yang diperlukan, untuk melaksanakan perkhidmatan 24 jam, sokongan dan servis pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir dan tongkang derik, serta menjalankan operasi penundaan dan pengendalian sauh.

 

"Kapal AHTS yang dikenal pasti untuk kontrak itu juga akan digunakan untuk kontrak lain dengan Hess Exploration and Production Malaysia BV, dan pengumuman ini akan dibaca bersama pengumuman Perdana Petroleum akan mengeluarkan kontrak dengan Hess," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu menjangka kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) hingga FY28.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024, kumpulan itu melaporkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih kepada RM75.8 juta, meningkat 233.18% tahun ke tahun berbanding RM22.75 juta.

 

Pertumbuhan itu didorong kadar sewa yang lebih baik dan penggunaan kapal yang lebih tinggi, yang mendapat manfaat daripada kekurangan kapal sokongan luar pesisir untuk aktiviti pengeluaran dan operasi pada suku Julai-September.

 

Hasil bagi tempoh tersebut meningkat 22.45% kepada RM127.25 juta daripada RM103.92 juta, disokong oleh peningkatan dalam penggunaan kapal kepada 78% (daripada 76% sebelumnya) dan kadar sewa harian yang lebih tinggi. - DagangNews.com