KUALA LUMPUR 19 Nov - Sektor automotif Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan positif pada suku keempat 2024 berikutan pesanan tertunggak yang tinggi dan kerancakan aktiviti promosi, kata penganalisis selepas jualan dari bulan ke bulan mencatatkan peningkatan pada Oktober.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menaik taraf unjuran jumlah volum industri (TIV) kepada 800,000 unit, paras yang sama seperti 2023, memetik tempahan tertunggak yang berterusan dan aktiviti jualan yang agresif.
"Kami menjangkakan volum jualan akan kekal pada bulan-bulan akan datang disebabkan oleh pesanan tertunggak yang masih tinggi untuk Perodua dan kempen jualan yang lebih agresif dilancarkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Bagaimanapun, HLIB mengekalkan pendirian "neutral" terhadap sektor itu, menekankan risiko jangka pendek seperti peningkatan persaingan daripada OEM China yang menawarkan harga dan ciri yang menarik.
Sementara itu, RHB Investment juga mengekalkan panggilan "neutral" selain mengekalkan unjuran TIV pada 790,000 unit, mencerminkan penguncupan 1% tahun ke tahun, dengan menyatakan bahawa "jualan suku keempat boleh menjadi lemah boleh dari tahun ke tahun disebabkan normalisasi jualan tertunggak".
Oktober 2024 menunjukkan TIV meningkat semula 20% bulan ke bulan kepada 69,900 unit selepas September yang perlahan disebabkan penyelenggaraan kilang dan hari bekerja yang lebih singkat.
September mencatatkan TIV sebanyak 58,032, iaitu 15% lebih rendah dari tahun ke tahun dan 18.45% lebih rendah dari Ogos.
Pemulihan Oktober didorong oleh jadual pengeluaran penuh, promosi akhir tahun dan permintaan yang berterusan untuk model utama.
Walaupun begitu, TIV merosot 9% pada Oktober, mencerminkan pesanan tertunggak yang normal. Untuk 10 bulan pertama 2024, TIV mencapai 664,000 unit, menandakan pertumbuhan 2.3% tahun ke tahun.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini menyemak semula unjuran TIV kepada 800,000 unit, memetik permintaan kukuh untuk model Perodua dan Proton, dengan Perodua sahaja menyumbang 100,000 pesanan tertunggak.
Bagaimanapun, sekor itu berdepanbeberapa risiko termasuk pesanan yang lebih lemah daripada jangkaan, kelewatan penghantaran dan gangguan rantaian bekalan. - DagangNews.com