pitchIN, Hata jalin kerjasama bentuk pusat sehenti aset digital | DagangNews Skip to main content

pitchIN, Hata jalin kerjasama bentuk pusat sehenti aset digital

Ketua Pegawai Eksekutif pitchIN, Sam Shafie (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low (dua dari kanan) menjalin kerjasama strategik bagi mewujudkan ekosistem aset digital buat firma perniagaan Malaysia.
Oleh Shamsiah Zulkafli

PETALING JAYA 1 Okt - Firma-firma perniagaan di Malaysia kini boleh mengumpul dana melalui token digital dan menyenaraikannya di bursa untuk perdagangan melalui pusat sehenti, hasil kerjasama antara platform pembiayaan melalui orang ramai ekuiti berlesen, pitchIN dan pertukaran aset digital (DAX), Hata.

 

Ketua Pegawai Eksekutif pitchIN, Sam Shafie berkata, kerjasama itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, di mana perniagaan boleh mengumpul dana melalui aset digital atau token untuk mempercepatkan pertumbuhan.

 

"Sebagai manfaat tambahan, syarikat boleh menyertai dagangan di Bursa Hata," katanya.

 

Selain mengumpul dana ekuiti, pitchIN juga mengoperasikan platform pembiayaan melalui orang ramai token di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). 

 

Perniagaan dan syarikat permulaan boleh mengumpul maksimum RM100 juta melalui platform tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hata, David Low berkata, kerjasama tersebut memberi akses yang lebih baik kepada rakyat Malaysia untuk menyertai projek dan syarikat inovatif melalui perdagangan token digital.

 

"Seperti mana bursa saham menyenaraikan ekuiti selepas tawaran awam permulaan (IPO), Hata mahu menjadi platform aset dan token digital boleh diperdagangkan secara tempatan. 

 

"Selain itu, capaian global Hata membolehkan pelabur antarabangsa mengakses token ini di platform kami. Kami teruja untuk bekerjasama dengan pitchIN," ujarnya.

 

David Low menambah, Hata menawarkan yuran perdagangan terendah di antara DAX di Malaysia dan telah memperkenalkan program gabungan yang memberikan pengguna 30 peratus daripada yuran perdagangan daripada rujukan mereka. - DagangNews.com