Prestasi kewangan suku ketiga yang lemah, pendapatan FY24 Genting disemak turun - penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan suku ketiga yang lemah, pendapatan FY24 Genting disemak turun - penganalisis

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Penganalisis menyemak turun pendapatan FY24 sehingga FY26 Genting Bhd berikutan keputusan kewangan suku ketiga yang lebih lemah akibat sumbangan Genting Singapura yang rendah. 

 

Katanya, kemerosotan prestasi Genting Singapura didorong oleh volum pelanggan VIP yang lebih rendah dan kadar kemenangan yang lebih lemah.

 

Phillip Capital berkata, sumbangan Genting Singapura yang lemah adalah faktor yang memacu pendapatan Genting yang lebih rendah.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan pertukaran wang asing (forex) yang lebih lemah juga mendorong mereka menurunkan anggaran pendapatan FY24 Genting.

 

Walaupun Genting menyaksikan kemerosotan pada 3QFY24, firma itu mengekalkan saranan beli dengan menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM4.75 daripada RM5.90. 

 

"Risiko utama terhadap panggilan beli kami termasuk kadar kemenangan yang lebih rendah daripada jangkaan, peningkatan kos operasi dan penurunan dalam kedua-dua hasil permainan dan bukan permainan," katanya.

 

Dalam nota berasingan, Pubic Investment Bank (PublicInvest) menggariskan kelembapan ekonomi China sebagai risiko kepada segmen hospitaliti Genting, terutamanya dalam kualiti perbelanjaan yang belum Kembali pulih ke tahap pra-pandemik.

 

“Memandangkan perniagaan hospitaliti kumpulan itu secara amnya bergantung kepada ketibaan pelancong China, kelembapan ekonomi di China dijangka memberi kesan kepada operasinya.

 

"Walaupun lawatan sepatutnya bertambah baik dari semasa ke semasa, kualiti perbelanjaan tidak kembali ke tahap pra-pandemik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu terus menyukai Genting dan mengekalkan panggilan "outperform".

 

"Walau bagaimanapun, kami perhatikan risiko operasi dan pelaburan baru-baru ini yang telah menjejaskan sentimen saham. Oleh itu, kami menurunkan TP kami kepada RM5.15 daripada RM6.00," katanya. - DagangNews.com