KUALA LUMPUR 2 Dis - Proton New Energy Technology, Pro-Net dan pengendali rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV), EV Connection (EVC), JomCharge melancarkan Program Infrastruktur Pengecasan EV Kondominium PRONET-EVC.
Melalui program tersebut, EVC akan memperuntukkan dana untuk pemasangan pengecas EV di 100 kondominium yang tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV.
Selain itu, kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk memastikan kadar pengecasan yang kompetitif di sekitar 70 kondominium yang menjadi sebahagian daripada rangkaian JomCharge.
Kerjasama berkenaan memperluaskan inisiatif Pro-Net dan EVC yang kini mengendalikan pembekalan, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan pengecas dinding rumah untuk pemilik kenderaan pintar dengan lebih 400 pemasangan berjaya diselesaikan setakat ini.
Rangkaian pengecasan JomCharge milik EVC, satu daripada yang terbesar di Malaysia, kini telah disepadukan ke dalam rangkaian pengecasan Pro-Net, menawarkan sekitar 600 titik pengecasan dan menyediakan 2,000 sesi pengecasan sejak pelancaran kenderaan pintar.
Pro-Net dan EVC juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pelaksanaan program infrastruktur pengecasan EV di kondominium dengan dua matlamat utama, iaitu memastikan ketersediaan pengecas EV di bangunan kediaman jenis bertingkat dan memastikan kadar pengecasan EV yang mampu milik di Malaysia.
Matlamat pertama selaras dengan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh kemudahan pengecasan EV di Malaysia, yang mensasarkan 10,000 titik pengecasan menjelang akhir 2025, manakala matlamat kedua adalah untuk memastikan kira-kira 70% penduduk Lembah Klang tinggal di bangunan bertingkat, mempunyai akses kepada pengecasan EV pada kadar yang berpatutan.
Bagi kondominium yang tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV, pemilik boleh menghantar permohonan melalui laman web EVC untuk mendapatkan pemasangan pengecas EV percuma.
Permohonan itu akan disemak oleh EVC dan Pro-Net, dan pemohon yang berjaya akan menerima pakej percuma yang merangkumi pengecas EV, kerja kemudahan yang diperlukan, kos penyesuaian, sistem pengurusan pengecas dan penyepaduan ke dalam rangkaian JomCharge.
Kondominium juga berpeluang berkongsi hasil melalui program tersebut, dengan kadar pengecasan yang sangat kompetitif iaitu RM0.70/kWh.
Bagi kondominium baharu dan yang telah bergabung dengan rangkaian JomCharge, pengguna Proton e.MAS 7 akan menikmati diskaun tambahan 10% daripada kadar pengecasan bermula Januari 2025.
Ia bermakna kadar pengecasan hanya RM0.63/kWh, yang hampir setara dengan kadar tarif kediaman TNB untuk pemilik hartanah berstrata.
Pengguna juga akan menikmati manfaat diskaun tersebut di kondominium dengan kadar pengecasan berasaskan masa.
CEO Pro-Net, Zhang Qiang berkata, sebagai sebahagian daripada kemasukan syarikatnya ke pasaran EV Malaysia dengan Proton e.MAS 7, pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan rakan kongsi seperti EVC untuk memperkenalkan lebih banyak titik pengecasan dalam rangkaian yang boleh diakses melalui aplikasi Proton e.MAS dan Hello smart.
"Sejak tempahan dibuka hampir sebulan yang lalu, kami menerima maklum balas positif yang menunjukkan rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menikmati pergerakan kenderaan lestari.
"Dengan menyediakan kemudahan pengecasan mudah di kondominium, kami percaya ini akan memudahkan pelanggan kami mengatasi sebarang halangan bagi untuk memiliki EV," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan EVC, Ir. Lee Yuen How, pula menyatakan kegembiraanya dapat bekerjasama dengan Pro-Net untuk memastikan kemudahan pengecasan EV Malaysia terus berkembang selaras dengan peningkatan penggunaan EV.
"Kami juga ingin memastikan pengecasan EV kekal mampu milik untuk penghuni kondominium dan ini adalah antara sebab utama mengapa program ini diwujudkan," ujarnya. - DagangNews.com