KUALA LUMPUR 5 Nov - Pembinaan kapal tempur pesisir Batch 2 (LMSB2) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi bermula dengan upacara pemotongan plat besi pertama projek disempurnakan semalam di Istanbul Shipyard, Turkiye.
Upacara ini atau ‘Steel Cutting’ sebagai simbolik permulaan aktiviti pembinaan sesebuah kapal.
TLDM menerusi kenyataan media menyatakan, majlis berkenaan disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Delegasi Kementerian Pertahanan yang hadir diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr. Mohd Bakhari Ismail serta wakil TLDM dan Pasukan Projek LMSB2.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye, Sazali Mustafa KamaL dan Güleryüz, Pengurus Besar Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM).Özgür Güleryüz.
Menurut kenyataan tersebut, LMSB2 berasaskan kapal korvet Kelas ADA ini telah dipilih oleh TLDM melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) yang mana STM telah dilantik sebagai kontraktor utama.
“Kapal korvet Kelas ADA telah dioperasikan oleh Angkatan Laut Turkiye dan Tentera Laut Pakistan.
“Selain itu, kapal kelas yang sama juga dalam proses pembinaan dan menjalani fasa ujian untuk perolehan Tentera Laut Pakistan dan Tentera Laut Ukraine.
“Kapal LMSB2 ini mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi merangkumi peperangan anti permukaan, peperangan anti udara dan peperangan elektronik serta bakal meningkatkan keupayaan tempur dan keupayaan operasi TLDM,” ujar kenyataan itu.
Kapal ini turut dilengkapi dengan sistem persenjataan dan penderia berteknologi tinggi bagi di atur gerak melaksanakan misi dalam domain maritim negara.
Pembinaan kapal ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung 2027 sebelum diserahkan kepada TLDM.
Pada Jun lalu, Surat Penerimaan (Letter of Acceptance – LOA ditandatangani Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dengan Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB) Turkiye, Prof Dr Haluk Gorgun.
Perolehan LMSB2 ini dijangka melibatkan peruntukan lebih RM2 bilion. - DagangNews.com