Projek Nexus Bank Negara Malaysia dijangka bermula pada 2027 | DagangNews Skip to main content

Projek Nexus Bank Negara Malaysia dijangka bermula pada 2027

Projek Nexus bertujuan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembayaran segera (IPS) bagi membolehkan transaksi rentas sempadan lancar di seluruh dunia - Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM), dengan kerjasama Bank for International Settlements (BIS) dan empat bank pusat lain menjangkakan Projek Nexus mula beroperasi menjelang 2027.

 

Projek empat fasa itu bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pembayaran segera (IPS) untuk membolehkan transaksi rentas sempadan lancar di seluruh dunia.

 

Kerjasama bersama BIS, sebuah institusi kewangan antarabangsa yang berpangkalan di Switzerland itu melibatkan beberapa rangkaian bank pusat negara lain.

 

Peserta utama dalam fasa ini termasuk Hab Inovasi BIS (BISIH) dan bank pusat dari Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan India.

 

BNM berkata, Projek Nexus membolehkan rangkaian IPS, seperti DuitNow, menyambung dengan lancar melalui rangkaian tunggal.

 

"Inovasi ini akan membolehkan pengguna memindahkan dana dengan serta-merta dan selamat merentasi sempadan menggunakan proksi seperti nombor telefon mudah alih," kata BNM semasa bengkel media pembayaran digital di Sasana Kijang, hari ini.

 

BNM berkata, fasa tiga projek itu, yang berakhir tahun ini, memberi tumpuan kepada peralihan kepada pelaksanaan projek secara langsung.

 

Rangka kerja komprehensif telah dibangunkan semasa fasa ini, merangkumi rangka kerja tadbir urus, model hasil dan spesifikasi teknikal terperinci.

 

"Fasa empat, yang bermula pada tahun ini melibatkan pengenalian operasi projek bagi kegunaan langsung. Keutamaan segera termasuk menubuhkan Pemilik Skim Nexus (NSO) di Singapura bagi menguruskan sistem dan membangunkan penyelesaian teknologi Nexus," katanya. - DagangNews.com