Projek Transit Pantas Autonomi Sarawak jadi inspirasi Jepun bina trem hidrogen di Gunung Fuji | DagangNews Skip to main content

Projek Transit Pantas Autonomi Sarawak jadi inspirasi Jepun bina trem hidrogen di Gunung Fuji

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Dis - Projek Transit Pantas Autonomi (ART) Sarawak di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dilapor menjadi sumber inspirasi kepada Jepun untuk memperkenalkan Trem Fuji yang dikuasakan oleh hidrogen bagi menyokong industri pelancongan Gunung Fuji.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro), Ts Mazli Mustaffa berkata, satu pasukan dari Yamanashi, Jepun, telah mengunjungi Kuching awal tahun ini untuk mempelajari lebih lanjut mengenai inisiatif KUTS.

 

"Ahli-ahli projek KUTS kami sempat berkongsi maklumat dengan pasukan dari Yamanashi yang meninjau sistem ART.

 

"Sarawak Metro juga bersedia membantu mereka menyesuaikan sistem ART bagi memenuhi keperluan tempatan di Yamanashi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mazli berkata, pihaknya turut berbangga apabila prototaip kenderaan ART Sarawak Metro dipamerkan semasa pengumuman dibuat di Jepun, baru-baru ini.

 

Pada akhir bulan lalu, Gabenor Yamanashi, Kotaro Nagasaki, mengumumkan rancangan untuk menggunakan trem tanpa landasan yang dikuasakan hidrogen untuk membawa pelancong di kaki Gunung Fuji, dengan mengambil kira kos pembinaan yang lebih rendah dan manfaat alam sekitar berbanding sistem rel tradisional.

 

Trem itu dijangka mampu menampung sehingga 120 penumpang dan akan menangani masalah kesesakan pelancong semasa musim panas di Jepun.

 

Walaupun Yamanashi sedang mempertimbangkan sistem ART oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC), keutamaan akan diberikan kepada syarikat Jepun yang menawarkan teknologi hidrogen serupa.

 

Mazli menggambarkan perkembangan tersebut sebagai satu pengiktirafan terhadap komitmen Sarawak Metro untuk memajukan pengangkutan awam Kuching sambil memberi inspirasi kepada penyelesaian pengangkutan lestari di seluruh dunia. - DagangNews.com