Prospek pendapatan D&O Green Technologies dijangka mencabar kerana kebergantungan kepada pasaran automotif China | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan D&O Green Technologies dijangka mencabar kerana kebergantungan kepada pasaran automotif China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis -Prospek pendapatan pengeluar diod pemancar cahaya (LED), D&O Green Technologies Bhd dijangka mencabar kerana kebergantungannya kepada pasaran automotif China, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan keadaan jualan kereta global yang lemah disebabkan peningkatan penguasaan Tesla an BYD dalam ruang kenderaan elektrik (EV) selain peralihan strategi EV di Amerika Syarikat (AS) serta perbincangan berterusan mengenai tarif import ke atas kereta China di Eropah.

 

"Ditambah dengan cuti panjang semasa Tahun Baharu Cina, kami menjangkakan pendapatan kumpulan lemah sehingga pertengahan 2025.

 

"Bagi mengurangkan kesan jualan LED automotif yang lemah, kumpulan itu telah menceburi perniagaan modul dengan memanfaatkan peluang yang timbul daripada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi tempoh sembilan pertama, jualan kereta global menyaksikan pertumbuhan kecil sebanyak 0.4% kepada 63.4 juta unit manakala jualan kereta penumpang China meningkat 2.1% kepada 21.5 juta unit berbanding pertumbuhan jualan kumpulan sebanyak 15% dari tahun ke tahun.

 

Sementara itu, semakan mendapai jualan kereta China berkemungkinan mengalami penurunan mendadak pada suku keempat, yang biasanya merupakan suku terkuat tahun ini, disebabkan situasi tidak terjual inventori yang teruk.

 

"Di AS, pembuat kereta juga menangguhkan pengembangan EV mereka kerana pentadbiran baharu di bawah Donald Trump mungkin menghentikan kredit cukai kenderaan elektrik bernilai AS$7,500 dan potensi tarif import sebanyak 20% yang dikenakan ke atas Mexico dan Kanada ke atas semua import," katanya.

 

PublicInvest berkata, buat masa ini, tiga projek sedang dalam pengeluaran besar-besaran, iaitu, unit kawalan kenderaan elektrik, modul kuasa jauh yang dipertingkatkan dan pod pintu dan RKE.

 

Sementara itu, tia lagi projek, iaitu suis lampu luaran, pengecas tanpa wayar dan unit kawalan kenderaan elektrik generasi kedua, dijangka menyaksikan pengeluaran besar-besaran menjelang separuh pertama 2025.

 

"Terdapat enam lagi projek yang sedang dalam permintaan untuk peringkat sebut harga, dan ia mungkin memasuki pengeluaran besar-besaran pada 2025," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM1.99 sesaham. - DagangNews.com