Prospek pendapatan Velesto diyakini positif didorong buku tender kukuh - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Velesto diyakini positif didorong buku tender kukuh - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) yakin terhadap prospek pendapatan Velesto Energy Bhd disokong buku tender kukuh yang meletakkan dalam keadaan meyakinkan bagi berdepan kitaran menurun perbelanjaan modal Petronas pada 2025.

 

Katanya, pemulihan pasaran pelantar naik bermula separuh kedua 2025 juga sepatutnya membolehkan saham kumpulan itu dinilai semula kerana keterlihatan pendapatan yang lebih baik selepas itu.

 

“Tambahan pula, kunci kira-kiranya yang kukuh boleh membolehkan Velesto melihat nisbah pembayaran dividen yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatatkan peningkatan ketara dalam buku tendernya pada suku ketiga 2024 kepada RM5.4 bilion daripada RM3.2 bilion pada akhir suku kedua.

 

“Peningkatan itu disokong peningkatan dalam tender jangka panjang untuk pelantar jack-up, Naga 3 dan Naga 8, yang kami percaya akan digunakan di Thailand dan Vietnam," katanya.

 

Maybank IB berkata, langkah syarikat minyak dan gas itu untuk mengambil pekerjaan serantau akan memberi petanda baik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang untuk melindung nilai terhadap kemungkinan kitaran menurun perbelanjaan modal Petronas pada 2025.

 

“Walaupun tender jangka panjang, setelah dijamin, berkemungkinan berada pada nisbah pembayaran dividen yang lebih rendah, ia akan meningkatkan kadar penggunaan kumpulan dan memberikan keterlihatan pendapatan dari separuh kedua 2025 hingga akhir 2026," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka menjangkakan pasaran pelantar jack-up akan berdepan cabaran sementara, kerana purata permintaan mungkin jatuh pada separuh pertama 2025.

 

Katanya, pasaran dijangka pulih pada separuh kedua 2025/2026 dan seterusnya, berikutan bekalan tambahan yang datang dari Arab Saudi dan penangguhan perbelanjaan modal Petronas.

 

“Pada pandangan kami, untuk menilai semula dan mendapatkan semula keyakinan pelabur, Velesto perlu memenangi pekerjaan jangka panjang serantau untuk mendapatkan kepastian pendapatan pada tahun kewangan 2025 dan 2026 dan seterusnya; dan/atau menaikkan nisbah pembayaran dividennya disebabkan penjanaan aliran tunai yang kukuh/sihat," katanya.

 

Terdahulu, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024, keuntungan bersih Velesto melonjak kepada RM42.93 juta daripada RM1.22 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM352.36 juta daripada RM289.24 juta setahun sebelumnya. - DagangNews.com