Rakuten Trade unjur CBH Engineering rekod untung bersih teras sebanyak RM45.8 juta pada FY25 | DagangNews Skip to main content

Rakuten Trade unjur CBH Engineering rekod untung bersih teras sebanyak RM45.8 juta pada FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Rakuten Trade mengunjurkan CBH Engineering Holding Bhd merekodkan untung bersih teras sebanyak RM45.8 juta pada FY25.

 

Katanya, buat masa sekarang, kumpulan itu menguruskan 12 kontrak berterusan dengan buku pesanan tidak dibilkan sebanyak RM203.7 juta, sebahagian besarnya didorong projek pusat data kerana ia memanfaatkan trend industri semasa.

 

"Memandang ke hadapan, CBH Engineering menunjukkan potensi pertumbuhan kukuh dengan projek kukuh sebanyak 22 tender bernilai RM559.7 juta.

 

"Bagi menyokong projek kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) pada masa hadapan, kumpulan itu menyalurkan 46.2% daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi pengembangan perniagaan, memfokuskan pada pemerolehan peralatan dan komponen kritikal, termasuk kabel kuasa, transformer dan gear suis," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, diperoleh daripada rangkaian yang terdiri daripada 178 pembekal yang diluluskan, pelaburan itu akan meningkatkan kapasiti operasi syarikat dengan ketara, meletakkannya untuk pertumbuhan yang mampan dan berskala projek yang lebih besar.

 

Sementara itu, kumpulan itu bercadang untuk mengambil 11 jurutera berpengalaman tambahan, mengembangkan pasukannya daripada 73 orang pada masa ini.

 

Langkah strategik itu akan meningkatkan keupayaan syarikat bagi mengurus projek kejuruteraan M&E berskala lebih besar, pelaksanaan yang cekap, pematuhan kepada piawaian berkualiti tinggi, dan keupayaan memanfaatkan peluang dalam pasaran yang semakin berkembang.

 

"Malaysia sebagai hab bagi pembuatan tenaga dan cip sejajar dengan pertumbuhan kukuh industri pusat data dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong pelaburan utama daripada gergasi teknologi seperti Google, Microsoft dan Amazon.

 

"Di peringkat tempatan, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menggariskan komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur digital yang luas dan berkualiti tinggi, termasuk pusat data," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 44 sen sesaham. - DagangNews.com