KUALA LUMPUR 20 Jan - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memberikan nilai wajar kepada Nothern Solar Holdings Bhd pada RM1.00 sesaham.
Penilaian tanpa penarafan tersebut adalah lebih tinggi sebanyak 58.7% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 63 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Februari 2025.
"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 26x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY26.
"Penilaian itu wajar kerana ia disokong pertumbuhan pendapatan daripada buku pesanan dan buku tender sedia ada.
"Kumpulan juga mencatat margin keuntungan bersih yang kukuh antara 13% hingga 19% berbanding rakan setaranya, 2% hingga 8% dan menjangkakan akan terus memberikan margin yang sama memandangkan harga panel solar global yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, sebagai kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem solar fotovoltaik (PV), kumpulan menjalankan reka bentuk dan perancangan kejuruteraan, perolehan dan pembekalan, pembinaan, pemasangan serta ujian dan pentauliahan sistem bagi pemasangan atas bumbung pada bangunan komersial, perindustrian dan kediaman.
Sistem solar PV atas grid menyokong penggunaan sendiri dengan lebihan elektrik yang boleh dieksport ke grid. Kupulan itu kini memberi tumpuan kepada projek Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan projek rumusan tenaga solar penggunaan sendiri (SELCO) selain meneroka Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
"Kumpulan itu berhasrat untuk meluaskan kehadiran pasarannya dengan mengembangkan tenaga kerjanya dan menubuhkan pejabat di Johor dan Pulau Pinang dalam tempoh 24 bulan.
"Pada masa sama mereka berhasrat meneroka peluang di negeri lain seperti Melaka, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah untuk mengembangkan perkhidmatan EPCC dan O&M untuk sistem solar PV," katanya.
Terdahulu, cadangan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu melibatkan terbitan 67.25 juta saham baharu dan tawaran jualan 35.6 juta saham sedia ada pada harga 63 sen sesaham.
Di bawah IPO, Northern Solar akan menyediakan 19.78 juta saham kepada orang ramai dan 7.91 juta saham kepada orang yang layak. Syarikat itu juga akan mengetepikan 39.56 juta saham untuk memilih pelabur melalui penempatan persendirian.
Tawaran penjualan 35.6 juta saham sedia ada pula akan dilakukan melalui penempatan persendirian untuk memilih pelabur. Hasil daripada penjualan saham sedia ada akan terakru sepenuhnya kepada pemegang saham jualan Lew Shoong Kai dan Chew Win Hoe, yang pegangannya akan dikurangkan kepada 30.8% setiap satu.
Secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan pelabur sehingga 26% kepentingan dalam syarikat itu.
Perolehan kasar daripada terbitan awam berjumlah RM42.37 juta akan digunakan terutamanya untuk tujuan pengembangan dan modal kerja manakala tawaran jualan berjumlah RM22.43 juta itu akan diberikan kepada pemegang saham jualannya, termasuk pengasas bersama Lew Shoong Kai dan Chew Win Hoe, yang kini memegang 42.5% kepentingan dalam Northern Solar.
Sejumlah RM3.2 juta lagi daripada hasil itu akan digunakan untuk menubuhkan pejabat korporat baharu dengan pusat arahan kejuruteraan di Petaling Jaya, Selangor dan membiayai penubuhan pejabat di Johor dan pejabat tambahan di Pulau Pinang.
M&A Securities ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO. - DagangNews.com