Rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion akibat scam sepanjang 2024 - Global Anti-Scam Alliance  | DagangNews Skip to main content

Rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion akibat scam sepanjang 2024 - Global Anti-Scam Alliance 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Okt - Menurut laporan State of Scam Report 2024 yang diterbitkan oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) dengan kerjasama Whoscall dan Feedzai, rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion bersamaan dengan 3% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara akibat scam sepanjang tahun ini. 

 

Laporan yang berdasarkan tinjauan sebanyak 1,202 rakyat Malaysia itu berkata, 70% mangsa tidak melaporkan kejadian mereka kepada pihak berkuasa. Selain itu, 32% responden mengaku telah kehilangan wang akibat scam.

 

Katanya, satu penemuan yang amat membimbangkan ialah peningkatan scam dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang mana 25% rakyat Malaysia menyatakan ketidakpastian sama ada AI memainkan peranan dalam scam yang mereka hadapi terutamanya dengan peningkatan penggunaan teknologi canggih seperti video palsu dan tiruan suara.

 

"74% responden mengalami scam sekurang-kurangnya sekali sebulan dan 43% menyaksikan lonjakan dalam percubaan scam sepanjang tahun lalu melalui WhatsApp, Telegram dan Facebook. 

 

"Kami juga mendapati scam melalui teks dan SMS melonjak sebanyak 8% berbanding 2023. 

 

"Dari segi impak emosi pula, 57% responden melaporkan tekanan emosi daripada pengalaman mereka. 

 

"Tinjauan kami menunjukkan kesan kewangan yang sama dahsyat, dengan purata kerugian bagi setiap mangsa sebanyak AS$2,726 dan hanya 2% daripada mangsa yang berjaya mendapatkan semula dana mereka. 

 

"Ini menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 6% daripada kadar pemulihan 8% yang dilaporkan tahun lepas," ulasnya dalam satu kenyataan. 

 

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi anti-scam berkuasa AI seperti Whoscall. 

 

"Bagi menangani isu ini, aplikasi kami, Whoscall telah bekerjasama dengan agensi kerajaan tempatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia bagi mengukuhkan usaha menentang penipu dan meningkatkan perlindungan awam.

 

"Whoscall juga telah memperkenalkan alat Auto Web Checker baharu yang akan memberikan amaran masa nyata kepada pengguna apabila mereka melawat tapak web scam, membantu mencegah pelanggaran data dan kecurian akaun," katanya. 

 

Selain itu, laporan tersebut juga menunjukkan scam pelaburan mencakupi 23% daripada semua kes, diikuti oleh kecurian identiti iaitu 21% dan scam membeli-belah, 20%. 

 

Di samping itu, tinjauan GASA berkata, penipu selalunya melengkapkan skim mereka dalam tempoh yang singkat, dengan 33% daripadanya diselesaikan dalam masa 24 jam dan 20% dalam beberapa minit. 

 

Berdasarkan statistik yang membimbangkan ini, GASA dan Gogolook menyeru pendidikan awam mengenai scam dipertingkatkan serta ketelusan yang dipertingkatkan dalam proses pelaporan.

 

Sementara itu, dalam usaha memerangi scam pada skala global, GASA dan Gogolook akan melancarkan Sidang Kemuncak Anti-Scam Global (GASS) pertama di Asia Tenggara, yang dijadualkan pada 21 hingga 22 Oktober 2024 di Singapura.- DagangNews.com