KUALA LUMPUR 29 Nov - Untung bersih RHB Bank Bhd menaik 15.4% suku ke suku (QoQ) daripada RM722.3 juta kepada RM833.2 juta, didorong oleh jumlah hasil yang lebih tinggi, jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah dan pengurusan perbelanjaan operasi yang berkesan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan keuntungan bersih bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2024 (9MFY24) sebanyak RM2.3 bilion, mewakili pertumbuhan 2.9%.
"Jumlah pendapatan kumpulan meningkat 11.3% tahun ke tahun YoY kepada RM6.4 bilion, didorong oleh pertumbuhan dalam pendapatan berasaskan dana bersih.
"Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) meningkat kepada 46% daripada 47.1% YoY, dan pulangan atas ekuiti (ROE) Kumpulan adalah pada 9.8%.
"Ini mencerminkan barisan teratas yang lebih kukuh, menggariskan strategi kewangan dan kecekapan operasi kumpulan," katanya.
Mengulas tentang prestasi kewangan, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Mohd Rashid Mohamad menegaskan keputusan tersebut mencerminkan peranan RHB sebagai rakan kongsi strategik kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
"Prestasi kewangan ini juga mencerminkan pertumbuhan pendapatan yang konsisten, kecekapan kos yang dipertingkatkan dan kemajuan dalam kewangan mampan.
“Prestasi kumpulan bagi 9MFY24 menyerlahkan komitmen kami untuk menyampaikan nilai yang mampan melalui strategi korporat kami, Together We Progress 2024 (TWP24).
“Ketika kami bergerak ke hadapan, kami memanfaatkan teknologi termaju dan inovasi bagi memperkasakan pelanggan kami, tidak kira individu dan perniagaan pada setiap peringkat perjalanan kewangan mereka.
"TWP24 bukan sahaja mengukuhkan operasi teras kami tetapi juga meletakkan RHB sebagai peneraju dalam memacu kemajuan bermakna merentas komuniti dan industri serta memupuk ekosistem kewangan yang berdaya tahan," katanya.- DagangNews.com