KUCHING 29 Nov - Affin Bank Berhad (Affin Bank) dilantik untuk menguruskan Skim Endowmen Pendidikan Kewangan (EFS) 2.0 selama lima tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelantikan itu diluluskan Kabinet Negeri Sarawak, baru-baru ini.
Katanya, bermula 1 Januari 2025, semua permohonan EFS akan dihantar ke cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.
"JPN akan menghantar borang permohonan kelahiran bagi anak yang dilahirkan pada tahun 2024 ke Bank Islam.
"Permohonan untuk anak yang dilahirkan pada tahun 2025 pula akan diuruskan oleh Affin Bank," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh beliau bersama wakil kedua-dua bank di sini, semalam.
Tambahnya, permohonan manual di JPN bagi fasa pertama akan bermula pada 1 Januari 2025, sementara permohonan dalam talian di bawah fasa kedua dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025.
Fatimah turut memaklumkan, kementeriannya telah mengeluarkan surat pelantikan kepada Affin Bank pada 27 November lalu, meminta bank tersebut untuk menyerahkan draf perjanjian dan prosedur operasi standard (SOP) kepada kementerian sebelum 9 Disember 2024.
"Kementerian dan Affin Bank sedang bekerjasama menyediakan perjanjian tersebut dan majlis menandatangani perjanjian itu akan berlangsung pada suku pertama tahun 2025," jelasnya.
Selain itu beliau berkata, satu bengkel akan dilaksanakan bersama Affin Bank, JPN dan pelbagai agensi kerajaan Sarawak pada 24 Disember 2024, bertujuan membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) permohonan, pembayaran, pengurusan, promosi dan pemantauan EFS untuk memastikan kelancaran permohonan.
EFS merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak dengan pemberian sebanyak RM1,000 dalam bentuk simpanan amanah kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula pada tahun 2019, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi.
Ia bertujuan untuk membantu anak-anak Sarawak sebagai persediaan bagi melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi, memulakan karier atau sebagai modal kecil perniagaan.
Dalam tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Oktober 2024, seramai 124,762 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS dengan jumlah peruntukan RM124.7 juta dari Kerajaan Sarawak.
Manakala dalam Belanjawan Sarawak 2025, kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi meneruskan pelaksanaan program itu. - DagangNews.com