Segmen hospitaliti dijangka jadi pemacu pendapatan baharu kepada Pavilion REIT pada masa hadapan | DagangNews Skip to main content

Segmen hospitaliti dijangka jadi pemacu pendapatan baharu kepada Pavilion REIT pada masa hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - Penyertaan Pavilion REIT dalam segmen hospitaliti menerusi pengambilalihan dua hotel terkemuka di ibu negara dijangka menjadi pemacu baharu kepada pendapatannya disokong pemulihan sektor pelancongan.

 

Ia membeli dua hotel utama iaitu Banyan Tree dan Pavilion Hotel yang terletak di Bukit Bintang pada Harga RM480 juta dengan jumlah pembelian akan dipenuhi menerusi tunai serta hasil daripada cadangan penempatan persendirian.

 

Kenanga Research percaya, aset runcit premium Pavilion REIT masih berdaya tahan dan hanya sedikit terkesan dengan kehadiran TRX. 

 

"Mereka juga akan mendapat manfaat daripada kedatangan pelancong antarabangsa dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dirangsang peruntukan belanjawan kerajaan yang lebih tinggi untuk sektor itu.  

 

"Kami menaikkan unjuran pendapatan FY25 sebanyak 5% atas sumbangan pendapatan hotel bermula 2HFY25 dengan mengandaikan perjanjian itu berjaya disempurnakan mengikut perancangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.63 sesaham.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, pengambilalihan dua hotel itu akan meningkatkan pendapatan kumpulan pada FY26 sebanyak 10.6%.

 

Bagaimanapun, pendapatan seunit (EPU) dijangka mencair sebanyak 9% selepas penempatan saham (berdasarkan senario maksimum), bagaimanapun mereka mengekalkan ramalan pendapatan kumpulan sementara menunggu pemerolehan selesai.

 

Penggearan Pavilion REIT dijangka kekal pada 0.42x selepas pemerolehan dengan mengandaikan pengeluaran unit pertimbangan kepada vendor manakala baki pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui pinjaman bank.

 

"Sebaliknya, penggearan dijangka berkurangan kepada 0.39x daripada 0.42x berdasarkan senario penempatan saham (senario penempatan maksimum 386 juta terbitan saham pada harga terbitan ilustrasi RM1.43 seunit) memandangkan Pavilion REIT memperuntukkan RM80 juta daripada hasil penempatan untuk pinjaman bank selain daripada menggunakan hasil untuk pemerolehan," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.69 sesaham.- DagangNews.com