Sektor pembuatan Malaysia catat pengeluaran perlahan pada November 2024 akibat permintaan lemah - S&P Global  | DagangNews Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia catat pengeluaran perlahan pada November 2024 akibat permintaan lemah - S&P Global 

Walaupun sektor tersebut mengalami kelembapan, data PMI menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mungkin berlaku pada suku akhir 2024 - Gambar hiasan dari freepik
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Sektor pembuatan Malaysia mengalami kelembapan pada November 2024 akibat permintaan lemah, kata S&P Global. 

 

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia, mengecil sedikit kepada 49.2 daripada 49.5 pada bulan sebelumnya yang menunjukkan penyederhanaan kecil dalam sektor itu. 

 

Walaupun sektor tersebut mengalami kelembapan, data PMI menunjukkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mungkin berlaku pada suku akhir 2024 pada kadar yang lebih perlahan daripada yang diperhatikan sebelum ini.

 

Pesanan baharu, pengeluaran dan tahap stok semuanya mengalami penurunan, manakala pekerjaan sebahagian besarnya tidak berubah.

 

Pakar ekonomi S&P Global Market Intelligence, Usamah Bhatti menjelaskan sektor pembuatan Malaysia. 

 

"Pesanan baharu, keluaran dan pekerjaan semuanya berkurangan dengan perniagaan baharu yang melonjak ke tahap terbesar selama tujuh bulan," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma yang terlibat dalam tinjauan itu berkata, permintaan luar negara yang lebih kukuh, mendorong kepada peningkatan dalam pesanan eksport baharu untuk bulan kelapan berturut-turut.

 

Kadar inflasi kos input pula menurun kepada paras terendah dalam tempoh sembilan bulan yang mendorong kepada caj keluaran yang stabil.

 

Pesanan baharu tempatan jatuh buat kali keempat dalam tempoh lima bulan, menandakan penurunan paling teruk sejak April sebaliknya, pesanan antarabangsa menyaksikan pertumbuhan disokong oleh permintaan dari rantau Asia Pasifik.

 

Pengeluaran berkurangan pada kadar yang sederhana, manakala kerja tertunggak menjadi stabil dan mencapai bacaan tertinggi dalam tempoh empat bulan dibantu oleh kapasiti terhad terus membebankan operasi.

 

Aktiviti pembelian, stok input dan inventori barang siap semuanya dikurangkan, walaupun kadar pengurangan adalah lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.

 

Walaupun permintaan yang lebih lemah, masa penghantaran dilanjutkan pada bulan ketujuh berturut-turut, dengan gangguan di Laut Merah disebut sebagai faktor penyumbang.

 

Inflasi kos input menurun kepada paras terendah dalam sembilan bulan, didorong oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kadar pertukaran yang lebih lemah. 

 

Di samping itu, inflasi pintu kilang adalah minimum, kerana firma berusaha menurunkan harga untuk meningkatkan jualan.

 

Prospek 12 bulan sektor itu kekal kukuh, dengan harapan permintaan pasaran yang bertambah baik yang akan memacu perkembangan sektor itu.- DagangNews.com