KUALA LUMPUR 23 Dis - Skim pemberian rebat tunai untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di rumah kediaman dilanjutkan sehingga April tahun depan, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Jelas kementerian, lanjutan tempoh itu adalah antara penambahbaikan kepada garis panduan Program Net Energy Metering (NEM) yang telah dikemas kini.
"Di bawah garis panduan yang dipinda, kuota untuk pengguna rumah akan ditingkatkan sebanyak 150 megawatt (MW), menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 600MW," jelas kementerian dalam satu kenyataan.
Katanya, bagi sektor perniagaan dan industri, kuota akan ditingkatkan sebanyak 300MW kepada 1,700MW.
Kementerian itu juga memaklumkan, NEM kini dibuka kepada petani bagi usaha meningkatkan keselamatan makanan.
Menurut kementerian, permohonan bagi kuota NEM akan diterima sehingga 30 Jun 2025, atau sehingga semua kuota habis diagihkan, yang mana terdahulu.
"Garis panduan yang dipinda untuk program NEM dan lanjutan inisiatif Solaris akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025," ujar kementerian.
Awal tahun ini, kementerian melancarkan Skim Insentif Solar untuk Rakyat atau Solaris, yang menawarkan rebat sehingga RM4,000 kepada mereka yang memohon untuk menyertai program NEM dari 1 April hingga 31 Disember 2024.
Pengguna yang ingin memasang panel solar di rumah mereka perlu memohon melalui NEM untuk mendapatkan kuota pemasangan. - DagangNews.com