SPRM buka kertas siasatan kes kerugian pelaburan RM43.9 juta Khazanah, PNB dalam Fashion Valet | DagangNews Skip to main content

SPRM buka kertas siasatan kes kerugian pelaburan RM43.9 juta Khazanah, PNB dalam Fashion Valet

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 2 Nov - SPRM telah membuka kertas siasatan ke atas kerugian yang dialami oleh Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada pelaburan jutaan ringgit mereka dalam jenama fesyen tempatan Fashion Valet.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beliau telah mengarahkan siasatan ke atas perkara itu, yang dianggapnya membimbangkan kerana ia melibatkan dana dan kepentingan awam.

 

"Saya telah mengarahkan para pegawai saya untuk memulakan siasatan kerana perkara ini melibatkan isu dana dan kepentingan awam.

 

"Jadi siasatan perlu (dilakukan) sama ada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak... atau hal-hal lain berkaitan isu tatakelola," katanya, seperti dipetik Astro Awani.

 

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 28 Okt menyatakan bahawa nilai saham Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet telah menurun hampir RM44 juta apabila perniagaan itu dijual pada 2023, berbanding jumlah yang mereka belanjakan pada 2018.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Khazanah, PNB jual pegangan RM47 juta dalam FashionValet pada harga hanya RM3.1 juta, MOF sahkan di Parlimen

 

Khazanah juga menyatakan bahawa ia mengeluarkan RM27 juta dan PNB RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam jenama fesyen tempatan itu pada 2018 - sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan perniagaan bumiputera dalam sektor e-dagang.

 

Bagaimanapun, kementerian itu berkata Fashion Valet kemudiannya dilanda masalah kewangan semasa pandemik COVID-19, walaupun tempoh yang sama menyaksikan peningkatan jualan bagi banyak perniagaan e-dagang tempatan.

 

Sejak isu itu menjadi perhatian, Fashion Valet dan dua syarikat pelaburan milik kerajaan itu telah mendapat kritikan orang ramai.

 

Susulan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam menggesa syarikat berkenaan menangani kebimbangan orang ramai, namun meminta orang ramai turut memberi mereka sedikit masa untuk memberikan maklum balas rasmi.

 

Selepas itu, pengasas Fashion Valet - usahawan fesyen Vivy Yusof dan suaminya Fadzaruddin Shah Anuar - telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan mengumumkan keluar daripada syarikat itu sebagai cara untuk memikul tanggungjawab atas kegagalan pelaburan. - DagangNews.com