Sunway Property catat jualan RM42 juta bagi Sunway Bayu di Ipoh  | DagangNews Skip to main content

Sunway Property catat jualan RM42 juta bagi Sunway Bayu di Ipoh 

Gambar dari Sunway Property
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Sunway Property mencatat hasil jualan sebanyak RM42 juta pada majlis pra pelancaran Sunway Bayu, siri pendaratan terakhir di perbandaran Sunway City Ipoh. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif bagi wilayah tengah dan utara Sunway Property, Chong Sau Min berkata, kejayaan Sunway Bayu didorong oleh lokasi strategik perbandaran terancang induk dan reka bentuknya inovatif.

 

Acara prapelacaran Sunway Bayu yang mendapat sambutan memberangsakan itu bukan sahaja menyerlahkan permintaan rumah inovatif dalam komuniti dinamik dan mampan tetapi juga menunjukkan keyakinan pembeli terhadap jenama Sunway.

 

“Kami yakin Sunway Bayu bersedia untuk meneruskan kejayaan dengan jualan RM42 juta telah diperolehi walaupun pada peringkat prapelancaran.

 

“Sebagai projek kediaman terakhir di kawasan Sunway City Ipoh seluas 546.32 hektar itu, pemilik rumah dan pelabur Sunway Bayu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan perbandaran itu.

 

“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang disasarkan sebanyak RM6 bilion, kami akan memanfaatkan model perniagaan unik kami untuk mengembangkan Sunway City Ipoh dengan tambahan pelaburan RM4 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pelaburan baharu termasuk pembangunan utama seperti Pusat Perubatan Sunway Ipoh yang akan dibuka pada 2025, pembukaan pusat beli-belah terbesar di Perak, Sunway Ipoh Mall seluas 1 juta kaki persegi yang dijangka siap pada 2027 dan kampus Pendidikan Sunway.

 

Projek-projek ini dengan tarikan sedia ada seperti The Banjaran Hotsprings Retreat dan The Lost World of Tambun, akan meningkatkan lagi daya tarikan Sunway Bayu dan mengukuhkan status perbandaran sebagai destinasi bersepadu utama. - DagangNews.com