Sunway REIT catat untung bersih sebanyak RM255 juta didorong sumbangan pusat beli-belah Sunway Pyramid, kata MIDF Research  | DagangNews Skip to main content

Sunway REIT catat untung bersih sebanyak RM255 juta didorong sumbangan pusat beli-belah Sunway Pyramid, kata MIDF Research 

Gambar dari Sunway Pyramid
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Untung bersih 9MFY24 Sunway REIT sebanyak RM255 juta adalah sejajar dengan unjuran dan konsensus MIDF Research, menyumbang 71% daripada anggaran pendapatan penuh FY24. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih Sunway REIT pada 3QFY24 sebanyak RM89.1 juta itu didorong oleh sumbangan pusat beli-belah Sunway Pyramid dan enam pasar raya besar yang baru diambil alihnya pada April 2024.

 

"Kami optimis terhadap pendapatan segmen runcit Sunway REIT yang akan disokong oleh Sunway Pyramid Mall. 

 

"Pengembalian sewa Oasis wing di Sunway Pyramid dijangka adalah menggalakkan pada lebih daripada dua kali ganda.

 

"Oleh itu, kami meramalkan ia akan memacu pertumbuhan pendapatan Sunway REIT selepas FY25.

 

“Memandangkan Sunway REIT pengambilalihan Sunway 163 Mall pada Oktober 2024 sudah selesai manakala pengambilalihan Kluang Mall di Johor dijangka siap menjelang akhir tahun ini, kami menjangkakan sumbangan daripada kedua-dua aset itu akan meningkatkan pendapatan kumpulan pada FY25," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

MIDF Research berkata, pada asas tahunan, untung bersih 3QFY24 Sunway REIT menguncup 3.1% YoY akibat kos kewangan yang lebih tinggi.

 

"Ini mendorong pendapatan terkumpul dalam 9MFY24 kepada RM255 juta akibat kehilangan pendapatan daripada Pusat Perubatan Sunway yang telah dilupuskan pada Ogos 2023," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Sunway REIT dengan menaikkan harga sasaran kepada RM1.98 daripada RM1.90 sesaham. - DagangNews.com