Suzana Idayu Wati wanita pertama dilantik Pengarah Besar Felda, ganti Amiruddin Abdul Satar | DagangNews Skip to main content

Suzana Idayu Wati wanita pertama dilantik Pengarah Besar Felda, ganti Amiruddin Abdul Satar

Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman. Gambar/ FGV Holdings
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Nov - Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengarah Besar Felda, bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar yang menamatkan perkhidmatannya pada 14 Oktober 2024.

 

Felda menerusi kenyataan media memaklumkan, pelantikan beliau mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam menggerakkan pembangunan ekonomi negara.

 

Jelas Felda, langkah itu seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan penyertaan wanita dalam semua sektor sebagai pemaju utama ke arah Malaysia yang progresif dan mampan.

 

"Suzana mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan sejak menyertai Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1998 sehingga memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Pelaburan pada 2008.

 

"Beliau kemudian menyertai FGV Holdings Berhad (FGV) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan dan beberapa jawatan penting di FGV sebelum menjadi Ketua Pegawai Pelaburan Perkeso," kata Felda.

 

Tambah lembaga tersebut, kepimpinan Suzana diperkuatkan dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam pelbagai sektor termasuk perbankan, kewangan, pelaburan dan pengurusan aset institusi.

 

"Beliau juga menganggotai pengurusan kanan dan menjadi ahli lembaga pengarah di lebih 35 entiti di dalam dan luar negara," ujar Felda.

 

Suzana juga pernah menjadi Pengerusi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan ahli Lembaga Pengarah Felcra.

 

Felda menyatakan, sumbangan beliau semasa menjadi Pengerusi MSPO menyerlahkan komitmennya terhadap industri dan pengurusan lestari, yang penting bagi memastikan Felda memacu agenda kelestarian yang menyokong keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

 

"Beliau adalah ahli Lembaga Pengarah Felda dan syarikat-syarikat di bawah Kumpulan Felda, seperti FGV Holdings, MSM Holdings, dan Encorp Berhad.

 

"Beliau juga berperanan sebagai Pengerusi IIUM Holdings Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah di Private Pension Administrator," jelas kenyataan tersebut.

 

Suzana memperoleh Doktor Falsafah dan Sarjana dalam Kewangan dari Universiti Putra Malaysia, Ijazah Pengajian Perniagaan dari Huddersfield University UK, serta Advance Management Program dari Harvard Business School, USA.

 

"Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman tempatan dan antarabangsa, serta kepimpinan yang berpandangan strategik, beliau dijangka memperkasakan lagi strategi dan daya saing Felda," katanya.

 

Tambah kenyataan berkenaan, Felda yakin Suzana akan membawa agensi tersebut ke arah pencapaian baharu dan memberi impak positif yang berkekalan kepada 112,638 keluarga peneroka serta generasi masa depan mereka di seluruh negara. - DagangNews.com