KUALA LUMPUR 9 Dis - Tenaga Nasional Bhd dan Sembcorp Power Pte Ltd telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan 50 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui kepada Singapura.
Bekalan tenaga boleh diperbaharui sulung dari Malaysia ke negara pulau itu adalah hasil proses bidaan yang dijalankan melalui Energy Exchange Malaysia (Enegem) pada Jun lalu.
Fasa pertama perdagangan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan dengan Singapura ini akan dimulakan bulan ini, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam satu kenyataan.
Di bawah perjanjian pembekalan itu, TNB akan menghantar tenaga elektrik ke Singapura melalui Sembcorp Power, menggunakan sambungan sedia ada antara kedua-dua negara, kata Petra.
Lelongan melalui Enegem merupakan sebahagian daripada inisiatif Petra di bawah Skim Jualan Elektrik Rentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui.
Secara keseluruhan, kapasiti tersedia untuk program eksport tenaga boleh diperbaharui ke Singapura ialah 300MW. Petra sebelum ini memberitahu terdapat dua pemenang daripada lelongan Jun, dengan pengambilan 50MW setiap satu, tanpa menamakan mereka.
Malaysia sedang menceburi eksport tenaga boleh diperbaharui untuk memperoleh harga yang menggalakkan dan keuntungan pertukaran asing di negara jiran Singapura, di mana kerajaan sedang meneroka sumber tenaga rendah karbon untuk memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik jangka panjang.
Pulangan daripada eksport tenaga boleh diperbaharui dijangka menyokong usaha penyahkarbonan Malaysia sendiri, termasuk memberi insentif kepada penggunaan tempatan tenaga boleh diperbaharui, dan mengukuhkan grid untuk membolehkan kemasukan tenaga boleh diperbaharui yang lebih tinggi, yang turun naik bersama-sama dengan sumber, seperti cahaya matahari siang hari. - DagangNews.com