Trafik penumpang udara Malaysia melebihi 80 juta dalam tempoh 10 bulan, MAVCOM | DagangNews Skip to main content

Trafik penumpang udara Malaysia melebihi 80 juta dalam tempoh 10 bulan, MAVCOM

Gambar hiasan Dagangnews/NAIM AZIZ
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Trafik penumpang udara Malaysia bagi tempoh 10 bulan tahun ini mencecah 80.3 juta, meletakkan negara pada landasan yang betul bagi memenuhi ramalan tahun penuh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebanyak 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang.

 

MAVCOM mengaitkan pertumbuhan itu dengan perjalanan domestik dan antarabangsa yang telah kembali stabil. 

 

Katanya, pertumbuha itu disokong oleh prestasi kukuh yang dicatat pada September 2024 serta jumlah penumpnag yang meningkat sebanyak 13% tahun ke tahun (YoY) sebanyak lapan juta pada Oktober 2024.

 

"Bagaimanapun, angka itu menandakan penurunan 2.7% dari bulan ke bulan (MoM) berbanding dengan 8.2 juta penumpang yang direkodkan pada September 2024. 

 

"Trafik Oktober mencapai 89.7% daripada paras yang dicatatkan pada Oktober 2019, mencerminkan pemulihan berterusan dalam perjalanan antarabangsa dan domestik berikutan pandemik Covid-19.

 

"Trafik udara antarabangsa merupakan pemacu pertumbuhan utama pada Oktober 2024, dengan 4.2 juta penumpang direkodkan, mewakili peningkatan 20.5% YoY, bersamaan dengan 95.3% daripada paras Oktober 2019," katanya.

 

MAVCOM berkata, trafik antarabangsa bukan ASEAN menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan peningkatan 25.6% YoY, manakala laluan ASEAN meningkat sebanyak 15.8% YoY.

 

Di dalam negara, Oktober 2024 menyaksikan 3.8 juta penumpang, mencerminkan peningkatan 5.9% YoY tetapi penurunan 5.1% MoM.

 

MAVCOM berkata, perjalanan antarabangsa bukan ASEAN melepasi tahap pra pandemik buat kali pertama, mencapai kadar pemulihan sebanyak 101% pada September 2024.

 

"Pertumbuhan kukuh yang direkodkan pada September dan Oktober didorong oleh peningkatan kapasiti tempat duduk, pengenalan laluan baharu dan pengecualian visa untuk pengembara China dan India. 

 

"Langkah ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancong riadah dan perniagaan," katanya.

 

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, momentum pemulihan sektor penerbangan terbukti dalam pertumbuhan YoY kukuh yang dilaporkan bagi Oktober, membina momentum positif yang dicapai pada September.

 

“Keyakinan yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, ditambah pula dengan inisiatif seperti pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India, bersama-sama dengan pengenalan laluan antarabangsa baharu, memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan, khususnya dalam pasaran bukan ASEAN, " katanya.

 

Pengecualian visa untuk pelancong China dan India akan kekal berkuat kuasa sehingga 2025, seterusnya menyokong pemulihan dan pertumbuhan sektor itu. - DagangNews.com