KUALA LUMPUR 19 Nov - U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) melancarkan Open API Portal, yang dibangunkan berdasarkan Inisiatif Open GSMA, menjadi syarikat telekomunikasi tempatan pertama melakukannya dengan matlamat untuk memacu inovasi dalam industri.
Menurut U Mobile, inisiatif itu bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan perkhidmatan dan penyelesaian baharu dengan memberikan akses kepada pembangun, rakan kongsi dan perniagaan terhadap pelbagai API milik syarikat itu.
Akses tersebut memudahkan integrasi dan kolaborasi yang lancar, membolehkan perniagaan memanfaatkan keupayaan 5G untuk mentransformasikan operasi mereka.
Ketua Pegawai Maklumatnya, Neil Tomkinson berkata, U Mobile mempunyai rekod inovasi yang kukuh selama 17 tahun dan menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang melancarkan Open API Portal adalah bukti bahawa ia semakin mengukuhkan komitmen terhadap pertumbuhan dan inovasi serta usaha untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.
"Inisiatif ini merupakan hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) yang kami tandatangani untuk menyertai GSMA Open Gateway Initiative di Mobile World Congress tahun ini.
"Sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia, kami juga berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi untuk membawa penyelesaian inovatif 5G dan 5G-Advanced kepada perniagaan dalam ekonomi digital yang didorong oleh AI," katanya.
Portal terbabit membolehkan integrasi lancar bagi perkhidmatan mesej, suara, data dan rangkaian, serta menawarkan antara muka intuitif yang memudahkan pembangunan.
Ia juga menyediakan persekitaran yang selamat dan terasing untuk ujian dan percubaan dengan API, selain berfungsi sebagai platform khusus untuk sokongan, kolaborasi dan perkongsian pengetahuan.
U Mobile telah dipilih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia, menandakan peralihan dari model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada sistem Rangkaian Borong Dual (DWN).
Pelaksanaan rangkaian 5G kedua itu dijangka menelan kos sekitar RM3 bilion bagi tempoh dua tahun akan datang, dengan tambahan anggaran RM1 bilion setiap tahun untuk mencapai sasaran liputan.
Untuk membantu membiayai perbelanjaan tersebut, syarikat dilaporkan sedang meneroka kemungkinan untuk melakukan tawaran awam permulaan (IPO). - DagangNews.com