Unit JV Gadang menang bidaan bagi membina loji fotovoltaik 15MW di Tawau, Sabah | DagangNews Skip to main content

Unit JV Gadang menang bidaan bagi membina loji fotovoltaik 15MW di Tawau, Sabah

Gambar hiasan dari Facebook Gadang Holdings

KUALA LUMPUR 30 Dis - Gadang Holdings Bhd dan rakan kongsinya menang bidaan untuk membangunkan loji fotovoltaik (PV) suria (LSS) berskala besar arus ulang alik 15 megawatt (MW) di Tawau, Sabah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu berkata, Suruhanjaya Tenaga Sabah (Ecos) telah mengeluarkan surat pemberitahuan (LON), menganugerahkan projek itu kepada anak syarikat rakan usaha (JV) milik penuhnya, Regional Utilities Sdn Bhd (RUSB) dan Hotrend Corporation Sdn Bhd.

 

"LON tersebut memerlukan JV RUSB–Hotrend untuk memenuhi kewajipan pematuhan tertentu, termasuk menyerahkan dan melaksanakan dokumen projek untuk mengesahkan penerimaan," katanya. 

 

Bagaimanapun, Gadang tidak memberikan butiran lanjut.

 

Gadang ialah syarikat tersenarai ketiga yang mengumumkan dirinya sebagai pemenang projek LSS Sabah.

 

Ini susulan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 12 Disember 2024, di mana beliau mengumumkan Suruhanjaya Tenaga (SPR) negeri telah meluluskan pemberian projek LSS kepada 15 pembida, dengan jumlah kapasiti 199MW di bawah proses pembidaan.

 

Dua lagi syarikat tersenarai yang telah mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang ialah Nestcon Bhd, yang memperoleh kontrak untuk membangunkan sejumlah 18.99MWac loji PV di Kimanis dan Tawau, dan Coastal Contracts Bhd, yang unit milik penuhnya, Coastal Power Holdings Sdn Bhd (CPHSB), mengetuai konsortium yang memenangi bidaan untuk membangunkan loji PV 15MW di pantai timur Sabah.

 

Memetik sumber The Edge yang melapokan Nusantara Suriamas Sdn Bhd yang dimiliki 70% milik Gadang berjaya memenangi bidaan di bawah pusingan bidaan LSS kelima (LSS5) untuk projek 99.99MWac di Selangor pada minggu lalu.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Ogos 2024 (1QFY2025), Gadang mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.22 juta, berbanding RM6.21 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Ini berlaku walaupun terdapat peningkatan 15% tahun ke tahun (YoY) dalam hasil kepada RM148.5 juta daripada RM129.5 juta, kerana kos jualan yang lebih tinggi menjejaskan keuntungan kasar.

 

Saham Gadang diniagakan setengah sen atau 1.5% lebih tinggi pada 33.5 sen pada hari Isnin, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM268.3 juta.- DagangNews.com