KUALA LUMPUR 5 Dis - United Overseas Bank (UOB) meramalkan ekonomi Malaysia berkembang 4.7% pada 2025, mencerminkan normalisasi daripada kesan asas yang tinggi, kepelbagaian perdagangan yang kukuh dan sokongan pemacu domestik.
Pakar Ekonomi Kanan UOB (Malaysia), Julia Goh berkata, Malaysia mempunyai tunjang domestik yang kukuh disokong keadaan pasaran buruhnya yang stabil, pelaburan berterusan, usaha peralihan tenaga, pelaksanaan pelan induk negara dan pembangunan serantau walaupun terdapat risiko luaran yang lebih tinggi.
“Dengan jumlah belanjawan perbelanjaan RM421 bilion atau 20.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun hadapan, enjin fiskal kekal mengembang walaupun sasaran defisit fiskal yang lebih kecil sebanyak 3.8% daripada KDNK.
"Potensi pelaburan dalam perancangan termasuk RM25 bilion oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bersama beberapa projek perkongsian awam-swasta, dan lebih daripada RM40 bilion projek pembinaan kerajaan yang akan dimulakan pada 2025," katanya semasa sesi taklimat media secara maya, hari ini lapor Bernama.
Julia berkata, walaupun asas ekonomi dan kewangan kukuh, ringgit masih terdedah kepada perkembangan luar, terutamanya potensi tarif Donald Trump akan datang yang dijangka membebankan tukaran mata wang asing Asia.
"Ringgit yang berkait rapat dengan yuan mungkin akan mengambil arah daripada yang kedua.
"Perlu ada lebih banyak usaha untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat Malaysia," katanya.
Beliau juga menjangkakan program Pelabur Pemastautin Berkelayakan menawarkan kelonggaran kepada pemastautin korporat untuk melabur semula di luar negara selepas penghantaran balik dana asing.
Katanya, liberalisasi dasar tukaran mata wang asing bagi bank pembangunan pelbagai hala dan institusi kewangan pembangunan bukan pemastautin untuk menerbitkan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit untuk kegunaan di Malaysia dan menyediakan pembiayaan ringgit kepada pemastautin.- DagangNews.com