KUALA LUMPUR 30 Dis - Kumpulan syarikat pajak gadai, Well Chip memeterai perjanjian penjualan saham ke atas tiga syarikat pajak gadai di Perak dalam urus niaga bernilai RM63,442,196.
Tiga syarikat itu ialah Pajak Gadai Koong Sing Sdn Bhd; Lian Foh Pawnshop Sdn Bhd dan Fook Foh Pawnshop Sdn Bhd, yang setelah transksasi kelak akan menjadi anak syarikat milik penuh Well Chip dan membentuk sebahagian daripada kumpulan syarikatnya.
"Pertimbangan pembelian keseluruhan saham ketiga-tiga syarikat itu adalah secara wang tunai," kata Well Chip dalam maklumannya di Bursa Malaysia hari ini.
Pertimbangan Pembelian tersebut kata Well Chip, telah dicapai pada asas `sedia menjual sedia membeli' dan juga
mengambil kira, antara lain, jumlah nilai buku bersih ketiga-tiga syarikat tersebut.
"Setiap syarikat berkenaan juga telah mengisytiharkan dan membayar kepada pemegang saham dividen tunai masing-masing sebelum tarikh SSA secara kolektif berjumlah RM2.32 juta daripada pendapatan terkumpul dan keuntungan boleh agih Syarikat Sasaran pada 31 Julai 2024.
Cadangan Pengambilalihan menandakan hala tuju strategik Kumpulan Well Chip untuk berkembang dan mengukuhkan kedudukan Syarikat dalam industri pajak gadai dan bertujuan untuk menembusi pasaran geografi baharu di Semenanjung Malaysia, yang sejajar dengan rancangan pengembangan masa depannya.
"Walaupun ketiga-tiga syarikat telah lama ditubuhkan, Kumpulan berhasrat untuk membina di atas rekod prestasi dan pangkalan pelanggan sedia ada mereka di Perak, dan membuka potensi selanjutnya untuk pertumbuhan dengan mengoptimumkan dan meningkatkan operasi perniagaan sedia ada mereka kelak.
"Ia akan dilaksanakan secara pemindahan pengetahuan dan penyepaduan sistem pajak gadai elektronik Well Chip Group, yang akan membolehkan ketiga-tiga syarikat itu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dengan pantas dan untuk memperkemas dan menambah baik kecekapan operasi keseluruhan mereka.
"Well Chip juga akan mendapat akses segera kepada pasaran pelanggan di Perak dan dapat memanfaatkan atas pelanggan sedia ada mereka dan mengembangkan jejak di Malaysia Barat," ujarnya. - DagangNews.com